Harga besi catat peningkatan hingga 3.3% pada Januari 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Harga besi catat peningkatan hingga 3.3% pada Januari 2024 - DOSM

Indeks harga seunit besi mencatatkan peningkatan antara 0.4% hingga 3.3% bagi kebanyakan kawasan pada Januari 2024.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb - Indeks harga seunit besi mencatatkan peningkatan antara 0.4% hingga 3.3% bagi kebanyakan kawasan pada Januari 2024 berbanding Disember 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tertinggi harga seunit besi adalah di Perak (3.3%) dan diikuti oleh Pahang  (0.8%), Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Kuching, Sarawak (masing-masing 0.6%).

 

Katanya, perbandingan bulanan mengikut bahan binaan dan kawasan terpilih mencatatkan tiada perubahan dalam indeks harga seunit bagi bahan binaan seperti papan lapis, bahan kerja paip dan cat bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

"Indeks harga seunit keratan keluli dan logam kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak manakala terdapat sedikit penurunan dalam indeks harga bahan ini bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (-0.8%), Johor (-0.3%), Kota Kinabalu (-0.1%) dan Sandakan (-2.2%). 

 

"Selain daripada itu, terdapat peningkatan kecil direkodkan dalam indeks harga bahan ini bagi kawasan Perak (0.9%) dan Kuching (0.2%)," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, perbandingan bulanan juga turut mencatatkan indeks seunit harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Januari 2024. 

 

Terdapat sedikit peningkatan dalam indeks harga bahan bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (0.8%) dan Terengganu & Kelantan (0.5%), katanya.

 

 

dosm

 

 

Katanya, harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 0.7% hingga 12% bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.   Perlis (12.0%) dan diikuti oleh Terengganu & Kelantan (11.8%).  

 

"Indeks harga seunit besi pula mencatatkan peningkatan antara 0.7% hingga 4% bagi Januari 2024 berbanding bulan yang sama tahun lalu. Namun begitu, kawasan yang mencatatkan penurunan indeks harga seunit besi adalah di Miri (-4.0%), Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-3%) dan Sandakan.

 

Mohd Uzir berkata, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan 'Mycon 60 high tensile deformed bars' adalah RM3,664.51 bagi setiap tan metrik dengan peningkatan iaitu 1% berbanding bulan sebelumnya.

 

Manakala, purata harga simen (Ordinary Portland) pula mencatatkan penurunan kecil iaitu 0.1% dengan purata harga RM22.97 per 50 kilogram (kg) sekarung berbanding Disember 2023 (RM23 per 50 kg sekarung).

 

"Bermula pada Januari 2024, Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) mengikut kategori bangunan dan kawasan adalah berasaskan kepada tahun asas yang baharu (Januari 2023=100). 

 

"Perbandingan bulanan IKB (termasuk bar keluli) bagi semua kategori bangunan pada Januari 2024 mencatatkan peningkatan antara 0.1% hingga 1.5% bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia. 

 

"Namun begitu, terdapat sedikit penurunan bagi IKB (termasuk bar keluli) antara negatif 0.2% hingga negatif 0.5 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Johor (kecuali tiada perubahan dalam indeks bagi kategori Bangunan Kayu dan Cerucuk Kayu)," katanya.

 

Beliau berkata, IKB (termasuk bar keluli) di Sabah pula menunjukkan peningkatan kecil iaitu antara 0.1% dan 0.2% bagi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu pada Januari 2024 berbanding bulan sebelumnya. 

 

Manakala kataaya, indeks bagi hampir semua kategori bangunan di Sandakan mencatatkan penurunan antara negatif 0.1% hingga negatif 2.0%

 

Katanya, perbandingan bulanan IKB (termasuk bar keluli) di Sarawak pada Januari 2024 menunjukkan peningkatan kecil dalam indeks iaitu 0.1% hingga 0.4%  bagi hampir semua kategori bangunan di Kuching, Sibu dan Miri. - DagangNews.com