Harga eksport Malaysia jatuh 0.5% pada April 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Harga eksport Malaysia jatuh 0.5% pada April 2023 - DOSM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 26 Mei - Harga eksport Malaysia pada April 2023 mencatat penurunan 0.5% kepada 141.9 mata daripada 142.6 mata pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Dalam laporan Indeks Perdagangan Luar (2010=100) April 2023 yang dikeluarkan hari ini, jabatan itu menyatakan indeks nilai seunit import turut susut 0.8% kepada 128.2 mata daripada 129.2 mata.


 
Berikutan itu, terma perdagangan Malaysia menunjukkan kenaikan 0.3% bulan ke bulan kepada 110.7 mata pada April 2023.

 

"Indeks nilai seunit eksport turun 0.5% pada April 2023 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-4.3%), barang-barang keluaran kilang (-0.3%) dan minyak serta lemak binatang dan sayur-sayuran (-0.3%),” katanya.

 

Menurut DOSM, indeks volum eksport merosot 18.3% pada bulan yang sama, selaras dengan penurunan indeks pelbagai barang keluaran kilang (-29.3%), minyak galian (-16.6%) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-16.2%).

 

"Indeks volum eksport pelarasan bermusim merosot 17.2 kepada 136.6 mata daripada 165.1 mata. Dari segi perbandingan tahunan, indeks nilai seunit eksport menyusut 0.8%, manakala indeks volum merosot 16.7%," katanya.

 

Selain itu, indeks nilai seunit import turut menurun pada April 2023 dengan 0.8% berikutan kejatuhan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-2.5%), bahan kimia (-0.3%) dan barang-barang keluaran kilang (-0.1%).

 

 

dosm

 

 

Indeks volum import pula susut 9.4% pada April 2023 berbanding bulan sebelumnya susulan penurunan indeks pelbagai barang keluaran kilang (-19.2%), barang-barang keluaran kilang (-9.75) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (-8.1%).

 

"Indeks volum import pelarasan bermusim menyusut 10.3% daripada 175.6 mata kepada 157.5 mata.

 

"Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import jatuh 0.6% manakala indeks volum merosot 10.4%," katanya.

 

Dalam pada itu, DOSM berkata terma perdagangan Malaysia meningkat 0.3% bulan ke bulan kepada 110.7 mata pada April 2023, didorong oleh kenaikan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+3.9%), bahan mentah tidak boleh dimakan (+1.3%) dan makanan (+0.3%), lapor Bernama.

 

Terma perdagangan Malaysia turut menyusut 0.2% tahun ke tahun daripada 110.9 mata pada April tahun lepas. - DagangNews.com