Harga emas dijangka catat peningkatan mingguan | DagangNews Skip to main content

Harga emas dijangka catat peningkatan mingguan

 

 


 

BENGALURU 4 Dis. - Harga emas mengukuh pada Jumaat, dan dijangka mencatatkan peningkatan bagi minggu pertama apabila meningkatnya kenyakinan terhadap rundingan rangsangan fiskal Amerika Syarikat (AS). 

 

Ia akan terus menekan dolar AS dan meningkatkan daya tarikan logam sebagai lindung nilai inflasi.

 

Reuters melaporkan harga emas meningkat 0.2% kepada AS$1,843.99 per auns setakat 0310 GMT. Niaga hadapan emas AS meningkat 0.4% kepada AS$1,847.90. Setakat ini, harga emas sudah mengukuh lebih 3% minggu ini. 

 

Pakar strategi DailyFX, Margaret Yang berkata, kenaikan momentum bagi emas sebahagian besarnya disebabkan kelemahan dolar dan harganya secara teknikal yang melampau. 

 

"Ini secara tidak langsung mendorong kepada kenaikan secara teknikal. Harga logam ini dijangka mencapai paras sokongan yang kukuh antara AS$1,800 dan AS$1,750," katanya.  

 

Bagaimanapun, Margaret berkata, terdapat risiko penurunan jika pemulihan ekonomi semakin meningkat dan inflasi melonjak, hingga mendorong Rizab Persekutuan AS menangguhkan rangsangan monetari bagi mengukuhkan dolar AS. 

 

Dolar AS semakin merosot pada Jumaat dan dijangka merekodkan prestasi terburuk minggu ini sejak awal November, yang menjadikan emas lebih murah bagi pemegang mata wang lain. 

 

Pelan bantuan COVID-19 bernilai AS$908 bilion meraih momentum dalam Kongres AS pada Khamis selepas penggubal undang-undang konservatif menyatakan sokongan. 

 

Selain itu, faktor lain yang turut mendorong kenaikan harga emas termasuklah laporan mengenai Pfizer yang mahu mengurangkan pelancaran vaksin COVID-19 ekoran berlakunya gangguan bekalan.   

 

Fitch Solution dalam kenyataannya menganggarkan harga emas akan berlegar pada purata AS$1,850 per auns tahun hadapan. 

 

"Sebahagian besar pemacu pada 2020 akan semakin pudar dan mengurangkan kenaikan ketara pada harga," kata agensi itu. 

 

Harga perak meningkat 0.1% kepada AS$24.09 per auns dan dijangka menokok 6% minggu ini. Platinum pula naik 1.3% kepada AS$1,403.19 dan palladium naik 1.2% kepada AS$2,328.82. - DagangNews.com