Harga minyak kembali sokong ringgit | DagangNews Skip to main content

Harga minyak kembali sokong ringgit

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Harga minyak yang kukuh kembali mengangkat semula ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setelah merudum sepanjang minggu lalu. 

 

Pagi ini, mata wang itu dibuka pada RM4.0590/0650 berbanding dolar AS. 

 

Harapan terhadap pemulihan ekonomi berkembang dengan lebih pantas dan pengurangan bekalan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya telah menolak harga minyak mencecah ke paras tertinggi setahun menghampiri AS$60 setong, lapor Reuters

 

Bagi minggu berakhir 5 Februari, ringgit susut 0.1% berbanding dolar AS dan mengakhiri dagangan dengan penyusutan RM4.07 berbanding minggu sebelumnya, RM4.040, menurut laporan aliran kewangan mingguan MIDF Research.

 

Permintaan terhadap dolar AS meningkat didorong jangkaan terhadap prospek ekonomi AS yang bertambah baik.

 

"Bagaimanapun, kenaikan harga minyak secara berterusan minggu lalu gagal menyokong ringgit sekalipun Brent mencecah AS$59.34 setong (berbanding AS$55.88 setong minggu sebelumnya," katanya. 

 

Menurut HLIB Research, kedudukan mata wang itu dilihat masih lemah terutama menjelang cuti perayaan hujung minggu ini.

 

Ia akan menyaksikan ringgit dijangka berlegar dalam julat antara RM4.05 hingga RM4.09, katanya.

 

"Bank Negara Malaysia (BNM) pula akan mengeluarkan data Keluaran Dalam Negara pada suku keempat 2020 Khamis ini, justeru, kami menjangkakan penguncupan yang lebih besar. 

 

"Keadaan ini disebabkan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan pada suku berkenaan tahun lalu," katanya dalam nota kajian. 

 

Pada Jumaat, ringgit susut dengan ketara kepada RM4.0680/0730 berbanding dolar AS daripada penutupan Khamis, RM4.0570/0600 menjelang pengumuman data pekerjaan AS. - DagangNews.com