Minyak sawit mentah dijangka naik harga didorong penyusutan stok - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Minyak sawit mentah dijangka naik harga didorong penyusutan stok - RHB Investment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 14 Feb - Stok minyak sawit Malaysia yang kini berada pada paras terendah dalam tempoh 6 bulan dijangka terus menyusut kepada bawah 2 juta tan pada bulan hadapan, kata RHB Investment Bank.

 

Menurutnya, ini disebabkan jumlah pengeluaran yang lebih rendah dalam bulan-bulan akan datang dan pada masa sama, permintaan eksport pula dijangka meningkat.

 

Kata firma penyelidikan itu, penyusutan stok bagaimanapun akan mendorong kepada kenaikan harga minyak sawit mentah.

 

"Walaupun pengeluaran bakal mereda dalam bulan-bulan akan datang, permintaan daripada pasaran eksport mungkin kembali meningkat apabila tibanya perayaan Aidilfitri dan kegiatan penambahan stok kerana paras stok patut menurun lagi. 

 

"Oleh itu, kami berpendapat stok minyak sawit mungkin menyusut bawah paras 2 juta tan pada bulan hadapan, lantas memberi dorongan kepada harga minyak sawit mentah," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Harga harian minyak sawit mentah yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 9 Februari lalu berada pada paras RM3,952.50 setiap tan.  

 

ARTIKEL BERKAITAN: Stok minyak sawit Malaysia susut ke paras terendah dalam tempoh 6 bulan

 

RHB Investment dalam pada itu, mengekalkan saranan 'Neutral' terhadap sektor perladangan dengan strategi perdagangan positif dan taktikal.

 

Katanya, ini kerana kami harga CPO dijangkakan lebih tinggi pada separuh tahun pertama 2024 dengan jangkaan keluaran lebih rendah yang lazim berlaku pada musim ini dan impak El Nino. 

 

"Kami tetap memilih syarikat huluan dengan Ta Ann Holdings (TAH) dan Sarawak Oil Palms Berhad (SOP) di Malaysia, Golden Agri (GGR) di Singapura, dan London Sumatra Indonesia Plantation (LSIP) di Indonesia sebagai Pilihan Utama," katanya.

 

RHB Investment menyarankan 'Beli' bagi saham TAH  dengan harga ssaran (TP) RM4 sesaham manakala SOP pula pada TP RM2.95 sesaham.- DagangNews.com