KUALA LUMPUR 21 Sept - AmInvestment Bank Research menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) terjejas pada separuh kedua tahun ini akibat lebihan bekalan di dalam pasaran.
Firma penyelidikan itu mengunjurkan harga MSM bagi tahun ini adalah pada RM3,800 bagi setiap tan bagi pengusaha tulen Malaysia manakala RM3,500 bagi setiap tan bagi mereka yang terdedah kepada pasaran Indonesia.
"Secara keseluruhan kami kekal 'neutral' terhadap sektor perladangan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
AmInvestment dalam nota kajian itu turut membuat perbandingan operasi dan kewangan tiga pemain utama industri iaitu IOI Corporation Berhad, Kuala Lumpur Kepong Berhad dan Sime Darby Plantation Berhad.
Firma penyelidikan itu mendapati bahawa saiz bank tanah tidak menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi manakalan KL merupakan syarikat paling aktif dalam mengambil alih syarikat dan IOI adalah lebih konservatif.
Katanya, KLK mencatatkan pulangan ke atas aset (ROA) tertinggi dalam perniagaan huluan pada FY22.
"Sime Darby Plantation mencatatkan ROA tertinggi dalam segmen hiliran pada FY22 dan IOI membayar dividen paling banyak pada FY22 berdasarkan nisbah pembayaran," katanya.
AmInvestment berkata, kapasiti pengeluaran oleokimia KLK dianggarkan sebanyak 3.3 juta tan setahun manakala IOI mempunyai kapasiti oleokimia tahunan sebanyak 890,000 tan.
Katanya kapasiti oleokimia berkesan SDP ialah 200,000 tan setahun melalui pegangan 50% dalam 2 loji di Amerika Utara dan Eropah.
"Bagi penapisan, Sime Darby Plantation adalah yang terbesar dengan kapasiti tahunan sebanyak 3.7 juta tan.
"Kumpulan itu mempunyai kilang penapisan sawit di Malaysia, Indonesia, United Kingdom, Afrika Selatan dan Belanda," katanya. - DagangNews.com