Harga minyak sawit mentah dijangka turun di bawah RM4,399 satu tan - Fitch Ratings | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah dijangka turun di bawah RM4,399 satu tan - Fitch Ratings

Pengeluaran MSM di Indonesia dijangka menurunkan lagi harga komoditi itu.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Jun - Fitch Ratings menjangka pengeluaran minyak sayuran global yang lebih tinggi akan memacu penurunan harga minyak sawit mentah (MSM) kepada di bawah AS$1,000 (kira-kira RM4,399) satu tan (t) pada separuh kedua 2022 (2H22) selepas purata pada sekitar AS$1,500/t pada 1H22.

 

Agensi penarafan itu berkata, harga MSM telah menurun lebih AS$300/t sejak awal Jun berikutan peralihan dasar di Indonesia untuk menggalakkan eksport dengan mengurangkan levi eksport.

 

“Kami menjangkakan pertumbuhan keluaran yang berterusan di Indonesia akan memberikan tekanan lanjut ke atas harga.

 

"Pengembalian semula sekatan eksport oleh Indonesia untuk memastikan bekalan domestik yang mencukupi dan bekalan yang lebih rendah bagi penggantian minyak biji bunga matahari dari Ukraine adalah risiko kenaikan harga utama kepada harga MSM," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Fitch berkata rancangan Malaysia untuk membawa masuk 32,000 pekerja asing seperti yang diluluskan pada September 2021 terus mengalami kelewatan.

 

“Kami percaya kekurangan tenaga kerja akan berterusan sehingga enam bulan lagi.

 

“Bagaimanapun, keadaan itu harus diselesaikan pada awal 2023 melainkan terdapat satu lagi wabak utama COVID-19 dan sekatan sempadan dikuatkuasakan semula,” katanya. - DagangNews.com