Harga minyak sawit mentah jatuh 10% akhir April, susut lebih awal daripada jangkaan - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah jatuh 10% akhir April, susut lebih awal daripada jangkaan - MIDF Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 13 Mei - Harga minyak sawit mentah (MSM) April 2024 mereda lebih awal daripada jangkaan dengan harga pada hujung bulan lalu didagangkan pada RM3,859.50 satu tan metrik iaitu penyusutan -9.9% bulan ke bulan (MoM).

 

Menurut MIDF Research, sedangkan pihaknya menganggarkan purata harga MSM April akan mencapai paras RM4,410/ satu tan (+4.6%mom) iaitu paras rintangan tahun lepas.

 

Walau bagaimanapun, katanya, momentum harga reda lebih awal daripada jangkaan, kembali ke harga Februari kerana risiko cuaca panas dan kering telah berkurangan.

 

"Melangkah ke hadapan, kami meramalkan purata harga penghantaran MSM tempatan akan ditutup -7.2% MoM lebih rendah kepada kira-kira RM3,946.7/Mt pada bulan Mei, kerana cuaca tidak sekata mula menjadi normal menjelang La-Niña pada 2HCY24," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, pengeluaran minyak bijian dan kacang soya global pada 2024/25 diunjurkan meningkat kepada 687 juta tan (+4.0%yoy) dan 422 juta tan (+6.0%yoy).

 

Katanya, ini akan mendorong harga minyak sayuran dan minyak soya lain ke arah aliran menurun termasuk risiko bekalan berkurangan.

 

"Kami mengekalkan panggilan NEUTRAL kami untuk sektor ini pada ketika ini dengan purata harga sasaran MSM sebanyak RM3,600/Mt untuk sepanjang tahun," jelasnya.

 

Kata firma penyelidikan itu, pendapatan syarikat perladangan akan terus meningkat pada 1Q-2QCY24, sejajar dengan purata kenaikan harga MSM yang didagangkan, kebanyakannya dipengaruhi oleh musim tanaman rendah dan peristiwa EL-Niño yang sederhana.

 

"Kami menganggap ini adalah masa terbaik untuk mengunci keuntungan untuk pilihan utama kami seperti Ta Ann, KLK, dan IOI Corp, kerana kami menjangkakan kenaikan harga saham akan menurun secara beransur-ansur menjelang akhir suku, mendorong peralihan ke arah strategi perdagangan," ujarnya.

 

Kata MIDF Research, pada bulan April, pengeluaran MSM Malaysia meningkat kepada 1.5 juta tan (+7.9%mom; +25.7%yo; +8.6%ytd) berbanding dengan 1.19 juta tan pada tahun sebelumnya. 

 

"Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh negeri-negeri seperti Terengganu (+70.3%yoy) dan Kedah (+65.7%yoy) kerana mendapat manfaat daripada persekitaran cuaca kering dan peningkatan produktiviti buruh asing," katanya. - DagangNews.com