Harga minyak sawit tidak kompetitif jika levi keuntungan luar biasa tidak disemak semula - Johari Ghani | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit tidak kompetitif jika levi keuntungan luar biasa tidak disemak semula - Johari Ghani

Johari Abdul Ghani melancarkan program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) MPOB di Bangi hari ini. - Gambar MPOB

KUALA LUMPUR 4 Julai - Levi keuntungan luar biasa (WPL) terhadap minyak sawit perlu disemak semula bagi memastikan harga minyak sawit menjadi kompetitif berbanding dengan negara-negara pengeluar lain.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini juga boleh menggalakkan penanaman semula sawit selain meningkatkan penanaman komoditi itu.

 

Kata beliau, untuk itu, pihaknya akan meneliti dan menyemak semula WPL ini seterusnya keputusan akan dihantar kepada Kementerian Kewangan (MOF).

 

“MOF akan mengkajinya...bagaimana kita boleh melihat semula benda ini dan secara tidak langsung (keputusan semak semula) juga boleh menggalakkan penanaman semula apabila produk ini menjadi kompetitif, justeru lebih ramai akan datang dan melabur pada tanah yang kita ada,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Bangi hari ini.

 

Pada majlis yang sama, beliau turut melancarkan MPOB TECH sebagai cap dagangan berdaftar untuk memperkasa teknologi MPOB yang dikomersialkan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Harga minyak sawit mentah diunjur kekal RM4,000 satu tan bagi 2024 - TA Securities

 

sawit
Semakan semula levi keuntungan luar biasa boleh menggalakkan penanaman semula sawit. -Gambar hiasan DagangNews

 

Pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam, Johari berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi semakan semula WPL ke atas minyak sawit di negara ini dalam pembentangan Belanjawan 2025, seiring dengan harga semasa komoditi itu.

 

"Dulu (sebelum ini) kos mengeluarkan satu tan metrik minyak sawit lebih kurang RM1,800 tetapi sekarang boleh mencecah RM2,800 hingga RM3,200, bergantung pada saiznya.

 

"Kos yang kita gunakan pada RM1,800 mungkin sesuai guna WPL, tapi sekarang tidak lagi apabila dagangan pasaran kira-kira RM3,800 hingga RM3,900 dengan kos melebih RM3,000,” katanya.

 

Sempena program tersebut, MPOB juga memperkenalkan enam teknologi baharu bagi pengkomersialan teknologi inovatif sawit. 

 

Johari berkata enam teknologi dan satu perkhidmatan baharu diperkenalkan bagi pengkomersialan itu merangkumi kluster bioteknologi, mekanisasi dan automasi dan oleokimia.

 

Enam teknologi baharu itu ialah baka tanaman baharu Siri Klon Sawit 4 (CPS 4) dan Mesin Pemotong Rumput dengan Transmisi Hidrostatik Kawalan Radio, Gris Gred Makanan Terbiodegradasi Berasaskan Sawit, Cecair Pencuci Gred-industri, Gam Berasaskan Sawit untuk Kawalan Serangga Perosak, serta Minyak Transformer Berasaskan Sawit.

 

Dalam pada itu, perkhidmatan ditawarkan adalah khidmat kawalan perosak sawit dan tikus secara biologi.

 

Menurutnya, teknologi dan inovasi yang dibangunkan oleh MPOB adalah seiring dengan perkembangan ekosistem industri sawit serta memperluaskan kegunaan produk berasaskan sawit di pasaran.

 

“Inisiatif ini juga menawar peluang kepada usahawan bagi meneroka potensi perniagaan dalam sektor sawit,” katanya.

 

Dalam ucapannya, Johari berkata penggiat industri perlu aktif dalam mengguna pakai teknologi terkini bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran bagi memastikan industry sawit Malaysia dapat kekal berdaya saing dan relevan seiring dengan perubahan global.

 

“Keuntungan diraih haruslah dilabur semula supaya industri sawit Malaysia secara keseluruhan menjadi bertambah maju,” katanya.- DagangNews.com