KUALA LUMPUR 19 Nov - IJM Plantation Bhd. mencatat untung bersih pada suku kedua berakhir 30 September 2021, berjumlah RM101.04 juta, berbanding kerugian bersih bagi tempoh sama tahun sebelumnya sebanyak RM1.04 juta.
Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat kepada RM299.78 juta daripada RM211.37 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Kumpulan merekodkan peningkatan 41.8% pendapatan pada suku berkenaan didorong harga komoditi yang lebih tinggi.
Pengeluaran tandan buah segar pada tempoh itu lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu disebabkan pemulihan pengeluaran tandan buah segar menerusi operasi di Indonesia.
Levi eksport minyak sawit mentah (MSM) dan cukai yang dikenakan pihak berkuasa Indonesia terus membataskan kelebihan harga MSM global yang tinggi kepada pengeluar minyak sawit huluan di negara ini.
"Ini menyebabkan pengurangan hasil hampir RM36.1 juta dalam tempoh suku dikaji menerusi operasi di Indonesia.
"Tetapi pengeluaran tandan buah segar di Indonesia bertambah baik berbanding tahun lalu," katanya.
Sementara itu, bagi tempoh kumulatif 6 bulan berakhir 30 September 2021, IJM Plantation merekodkan untung bersih sebanyak RM161.1 juta berbanding RM81.07 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Harga komoditi yang lebih tinggi pula mendorong pendapatan yang lebih tinggi dalam tempoh itu kepada RM571.5 juta daripada RM417.35 juta.
Sebaliknya, pengeluaran tandan buah segar adalah rendah sedikit terutama disebabkan kesan pokok sawit yang tinggi di wilayah Sugut dalam operasi di Malaysia.
Mengenai prospek kumpulan, IJM Plantation optimis terhadap prestasi kewangan yang menggalakkan bagi tahun kewangan semasa berdasarkan jangkaan pasaran bahawa harga produk sawit akan kekal tinggi. - DagangNews.com