Harga saham BP Plastics menghampiri penilaian wajar, CGS-CIMB mulakan liputan dengan saranan 'pegang' | DagangNews Skip to main content

Harga saham BP Plastics menghampiri penilaian wajar, CGS-CIMB mulakan liputan dengan saranan 'pegang'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Sept - CGS-CIMB Research memulakan liputan terhadap BP Plastics Holding Bhd. dengan saranan 'pegang' pada harga sasaran (TP) RM1.61 sesaham.

 

Menurutnya, visi BP Plastics untuk menghasilkan filem regangan tolok nipis yang mampan sejak awal 2010 telah meningkatkan kedudukannya sebagai salah satu pengeluar filem regangan terbesar di Asia.

 

"Pada pandangan kami, kelebihan dari segi kewangan dan strategik untuk beralih kepada filem regangan yang lebih nipis yang mampan membolehkan BP Plastics meningkatkan nilai dan marginnya, justeru, dapat mengelak daripada terlibat dalam perang harga dengan pengeluar filem regangan yang lebih kecil.

 

"Ia juga meningkatkan halangan kemasukan secara efektif dengan inovasi teknologi dan meningkatkan profilnya dalam kalangan pelanggan yang perlu mematuhi keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Selama lebih 30 tahun, BP Plastics telah menghasilkan filem pembungkusan plastik yang fleksibel. Pada mulanya pengeluar beg plastik itu mengalihkan tumpuannya untuk berkembang menjadi filem regangan cast pada 2000.

 

Peralihan itu menghasilkan jualan dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 14.8% antara tahun kewangan berakhir 31 Disember 2000 (FY00) hingga FY21, manakala keuntungan bersih teras berkembang 12.5% dalam tempoh itu.

 

Menjelang akhir tahun ini, BP Plastics akan meningkatkan kapasiti pengeluaran papan namanya daripada 102,000 tan setahun pada FY20 kepada 138,000 tan setahun.

 

Bagaimanapun, CGS-CIMB menjangkakan kenaikan harga petrokimia pada separuh pertama 2022 akan mengheret turun keuntungan bersihnya daripada paras tertinggi pada FY21.

 

Malah, katanya, keuntungan bersih bagi FY22 juga dijangka merosot 19.8% tahun ke tahun di sebalik peningkatan 14.5% tahun ke tahun dalam pendapatan, kerana marginnya akan terjejas oleh harga polietilena yang lebih tinggi.

 

"Walaupun ia meningkatkan kapasitinya menjelang akhir FY22, kami menjangkakan pertumbuhan volum jualannya tidak berubah pada FY23 hingga FY24 disebabkan kelembapan ekonomi global. 

 

"Oleh itu, pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23 hingga FY24 akan meningkat hanya 3.1% hingga 6.8% tahun ke tahun, manakala EPS FY24 akan menjadi 11.7% lebih rendah daripada FY21," jelasnya.

 

Menurut firma itu, berikutan jualannya yang melonjak pada FY21, harga saham BP Plastics melonjak sehingga 60.4% pada tahun lalu. 

 

Katanya, harga saham kumpulan sudah menghampiri penilaian wajarnya, yang kami tetapkan pada harga perusahaan (PE) FY24 sebanyak 11.1 kali. 

 

"Selain itu, saham ini juga menawarkan hasil dividen bagi tempoh 2022 hingga 2024 yang besar sebanyak 4% hingga 5.4%, tertinggi dalam sektor plastik. Ini mewajarkan penilaian premium, pada pandangan kami.

 

"Faktor ini mendorong kami untuk mengesyorkan saranan 'pegang' terhadap BP Plastics semasa kami memulakan liputan ke atas saham ini," katanya.

 

Setakat 9.16 pagi ini, harga sahamnya susut 3 sen atau 2.05% kepada RM1.43 dengan 51,300 saham diniagakan. - DagangNews.com