Harga tiket `bilun' ke Sabah, Sarawak dijangka kembali normal tidak lama lagi | DagangNews Skip to main content

Harga tiket `bilun' ke Sabah, Sarawak dijangka kembali normal tidak lama lagi

KUALA LUMPUR 11 Okt - Harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak dijangka kembali ke paras purata apabila jumlah kekerapan penerbangan beroperasi seperti biasa.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong berkata, kerajaan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan meneruskan pemantauan terhadap harga tiket penerbangan bagi semua laluan domestik termasuk antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.

 

"Harga tiket penerbangan yang tinggi ini antara lain kesan daripada pelaksanaan had kapasiti penerbangan oleh kerajaan negeri Sarawak.

 

"Pelaksanaan had kapasiti ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri Sarawak melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bagi menangani penularan wabak COVID-19.

 

"Pada ketika itu, kekerapan penerbangan ke Sarawak berkurangan sebanyak 94% berbanding ketika tempoh sebelum wabak COVID-19.

 

"Sementara itu, bagi penerbangan di antara Semenanjung dan Sabah, kekerapan penerbangan berkurangan sebanyak 89% berbanding ketika tempoh sebelum wabak itu," katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS- Sibuti) mengenai langkah kerajaan mengurangkan harga tiket penerbangan Sarawak dan Sabah ke Semenanjung yang mahal ketika pandemik ini.

 

Mengulas lanjut, Henry berkata, penetapan tambang penerbangan domestik oleh syarikat-syarikat penerbangan negara berdasarkan rasionalisasi sektor perkhidmatan udara domestik pada tahun 2006. - DagangNews.com