Harga tiket taman tema Genting Skyworld dijangka RM200 sehari - Affin Hwang | DagangNews Skip to main content

Harga tiket taman tema Genting Skyworld dijangka RM200 sehari - Affin Hwang

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 21 Jan - Affin Hwang Investment Bank menjangkakan kadar tiket harian bagi taman tema Genting Skyworlds yang dijangka dibuka suku pertama tahun ini adalah sekitar RM200. 

 

Firma penganalisis itu berkata, berkata, taman tema berkenaan mampu memuatkan sehingga 20,000 pengunjung sehari, namun disebabkan keperluan prosedur standard operasi (SOP) COVID-19, kapasiti keseluruhan mungkin dihadkan kepada 10,000 pengunjung sehari. 

 

"Memandangkan pada masa ini ia hanya dibenarkan beroperasi pada kapasiti yang dikurangkan, kami percaya taman hiburan ini berkemungkinan beroperasi dengan kerugian pada peringkat awal. 

 

"Bagaimanapun, pada pandangan kami Genting Malaysia (Genting) masih akan meneruskan pembukaannya, kerana objektif utama taman hiburan ini adalah untuk menambah jumlah keseluruhan pengunjung ke Genting Highland, dengan menambah baik kemudahan bukan perjudian," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambah Affin Hwang, apabila taman tema lama ditutup pada 2013, jumlah pengunjung menurun sebanyak 6,600 sehari atau 2.4 juta pengunjung pada tahun 2014.

 

Ia berkata, berdasarkan petunjuk pengurusan sebelum ini, bayaran masuk akan menyamai dengan pesaingnya yang lain. 

 

"Kami menjangkakan Genting akan menetapkan harga tiket taman hiburan itu pada sekitar RM200 sehari," katanya. 

 

Dalam pada itu Affin Hwang berkata, walaupun taman tema baharu itu dijangka memberi rangsangan kepada jumlah lawatan secara keseluruhannya, ia meragui Genting Skyworlds akan menjadi pemangkin penarafan semula untuk saham.

 

Katanya, ini memandangkan kebanyakan penganalisis dan pelabur mengambil kira kesan daripada pembukaan dalam kiraan mereka, apabila pengurusan sebelum ini sudah memberi panduan bahawa mereka mula melakukan ujian di taman tema itu sejak suku keempat 2021.

 

"Bagaimanapun, mungkin terdapat risiko kepada harga sahamnya jika taman tema ini ditangguhkan pembukaannya selepas separuh pertama 2022, kerana ia akan melembapkan sentimen pelabur terhadap saham GENM," katanya. -DagangNews.com