Hari Pengguna Kebangsaan pada setiap 15 Mac | DagangNews Skip to main content

Hari Pengguna Kebangsaan pada setiap 15 Mac

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Mac. - Kerajaan dengan rasminya bersetuju menerima cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menjadikan 15 Mac setiap tahun sebagai Hari Pengguna Kebangsaan.

 

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tiba masanya sumbangan pengguna diiktiraf dan diraikan di dalam satu tarikh yang khusus dengan mengambil kira kepelbagaian latar belakang pengguna di Malaysia, tidak mengira kaum, agama, jantina dan peringkat umur. 

 

"Tarikh 15 Mac ini dipilih bersempena dengan sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia atau World Consumer Rights Day yang disambut serentak seluruh dunia setiap tahun anjuran Consumers International sejak 1983. 

 

"Consumers International adalah sebuah organisasi kumpulan pengguna di seluruh dunia yang telah ditubuhkan pada 1 April 1960 dan mempunyai lebih daripada 250 anggota di 120 negara. 

 

"Tahun 2021 adalah tahun yang bersejarah kerana buat pertama kalinya kita menyambut Hari Pengguna Kebangsaan sempena Hari Hak-hak Pengguna Sedunia pada tarikh yang sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi 

 

Mengulas perkara sama, beliau memberitahu, tema yang telah dipilih untuk Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia tahun ini adalah Menangani Pencemaran Plastik.

 

Katanya, pencemaran merupakan salah satu isu dan cabaran terbesar yang dihadapi pada masa ini terhasil dari pengurusan buangan yang tidak berhemah dan teratur. 

 

Sehubungan itu, kerajaan sangat komited dengan gagasan berkenaan dan akan bersama dengan badan dunia untuk menangani pencemaran terutama yang berpunca daripada plastik.

 

Beliau memberitahu, usaha tersebut dibuat melalui pengurangan penggunaan plastik terutama plastik guna sekali yang memberikan impak negatif kepada kehidupan manusia dan umur bumi. 

 

"Kerajaan telah pun memulakan advokasi dan peraturan penggunaan plastik guna sekali sejak 2019 dan ini akan diteruskan dan dipertingkatkan sehingga pengguna benar-benar faham dengan bahaya plastik guna sekali kepada kehidupan dan bumi
kita.

 

"Di masa yang sama, kementerian akan terus mendidik dan membentuk pengguna sehingga pengguna di Malaysia menjadi entiti yang tahu hak mereka, bijak, bermaklumat, berdaya-upaya dan berani bertindak," tambah beliau lagi. - DagangNews.com