Hartalega kembali catat untung bersih RM32 juta bagi 1QFY25 didorong peningkatan purata harga jualan | DagangNews Skip to main content

Hartalega kembali catat untung bersih RM32 juta bagi 1QFY25 didorong peningkatan purata harga jualan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Hartalega Holdings Bhd kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM31.9 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2024 (1QFY25) berbanding kerugian bersih RM52.5 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan juga meningkat sebanyak 33% kepada RM584 juta berbnding RM440 juta pada 1QFY24.

 

"Prestasi kumpulan yang bertambah baik bagi suku tersebut disebabkan pemulihan dalam jumlah jualan dan peningkatan purata harga jualan (ASP) dalam tempoh tersebut.

 

"Keuntungan disokong oleh kos operasi yang lebih rendah didorong kecekapan pengeluaran yang lebih baik dengan penggunaan kapasiti yang lebih tinggi," katanya.

 

Ketua Pegawai Ekskeutif Hartalega, Kuan Mun Leong berkata, walaupun berdepan tekanan berterusan, pihaknya melihat peningkatan beransur-ansur dalam permintaan disokong rasionalisasi kapasiti strategik oleh peserta industri utama dan pertambahan inventori. 

 

Selain itu katanya, langkah peningkatan kecekapan operasi kumpulan terus membuahkan hasil positif.

 

Beliau berkata, kumpulan itu bagaimanapun terjejas oleh kelewatan penghantaran kesan daripada kekangan penghantaran global yang berterusan.

 

"Normal baharu dalam menjalankan perniagaan ialah hakikat bahawa kami perlu lebih bersedia untuk menghadapi ketidaktentuan pasaran ini.

 

"Pelan strategik lima tahun kumpulan memastikan kami focus kepada bidang kami, iaitu mengoptimumkan kecekapan operasi dan kos, meningkatkan automasi dan mengekalkan peneraju dalam pematuhan sosial dan kemampanan melalui inisiatif ESG," katanya.

 

Dalam menjangkakan persekitaran permintaan yang lebih menggalakkan, Mun Leong berkata, mereka akan terus meningkatkan kapasiti pengeluarannya secara strategik sambil mengambil kira dinamik pasaran.

 

"Walaupun tekanan pasaran luar berterusan, kami menjangka permintaan sarung tangan akan meneruskan trajektorinya menaiknya, didorong oleh keperluan penjagaan kesihatan global dan kesedaran kebersihan yang semakin meningkat. 

 

"Hartalega berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peningkatan pasaran yang akan datang ini," katanya.- DagangNews.com