Hasil langganan semakin merosot, untung bersih Astro menjunam kepada RM5.8 juta pada suku ketiga | DagangNews Skip to main content

Hasil langganan semakin merosot, untung bersih Astro menjunam kepada RM5.8 juta pada suku ketiga

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Dis - Untung bersih Astro Malaysia Holdings Bhd. menjunam sehingga 94.5% kepada RM5.8 juta pada suku ketiga berakhir 31 Oktober 2022 berbanding RM105.92 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Penurunan mendadak itu disebabkan kos pembiayaan bersih yang lebih tinggi dengan sebahagian besarnya daripada kesan kadar tukaran asing yang tidak direalisasi daripada liabiliti pajakan kewangan yang tidak dilindungi dan penurunan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), diimbangi oleh perbelanjaan cukai yang lebih rendah.

 

Dalam makluman di Bursa hari ini, Astro berkata, pendapatannya pada suku berkenaan turut susut 9.4% kepada RM926.2 juta daripada RM1.02 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan sebelumnya terutamanya disebabkan penurunan hasil langganan dan jualan barangan, yang diimbangi oleh kenaikan hasil pengiklanan.

 

Bagi segmen televisyen, hasil pada suku berkenaan susut 7% kepada RM833.1 juta daripada RM896.1 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, disebabkan penurunan langganan, hasil pengiklanan dan jualan hak program yang diimbangi dengan kenaikan pendapatan pelesenan.

 

Pendapatan radio bagi suku semasa pula adalah lebih tinggi sebanyak 60.9% berbanding suku tahun yang sama tahun lalu, mendapat manfaat daripada momentum pemulihan dalam peralihan kepada fasa endemik.

 

Sebaliknya hasil daripada segmen beli-belah merosot sehingga 56.5% kepada RM40.8 juta daripada RM93.8 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan sentimen pengguna yang lemah, perbelanjaan pengguna yang lebih berhati-hati dan keselesaan membeli-belah secara fizikal.

 

Ini menyaksikan keuntungan bersih bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 31 Oktober 2022 susut 38.9% kepada RM204.23 juta daripada RM334.29 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan juga susut 10.6% kepada RM2.81 bilion daripada RM3.14 bilion.

 

Jumlah aset kumpulan setakat 31 Oktober 2022 berjumlah RM6.07 bilion berbanding RM5.32 bilion pada 31 Januari 2022.

 

Sementara itu, mengulas mengenai prospek bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (FY23), dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata,  kumpulan akan terus melabur dalam transformasi untuk pertumbuhan jangka panjang dan mampan, menumpukan kepada kandungan, jalur lebar, penstriman, pengalaman pelanggan, data, pengiklanan bersasar dan teknologi untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.

 

Katanya, peningkatan penggunaan pengiklanan bersasar yang kini menarik perhatian di pasaran dan ditambah baik dengan ukuran penonton yang disatukan pada Linear, On Demand dan OTT.

 

"Kami menjangkakan pengiklanan bersasar akan terus meningkatkan penggunaan industri dari semasa ke semasa dan berkembang pada masa hadapan," katanya.

 

Menurut beliau, keadaan makroekonomi termasuk ketidakpastian perspektif keseluruhan peningkatan global, kenaikan kadar faedah, inflasi dan juga peristiwa-peristiwa geopolitik semasa terhadap rangkaian bekalan dijangka mempengaruhi isi rumah dan perniagaan. 

 

Sehubungan itu, katanya, syarikat akan kekal berhati-hati dan sentiasa memantau keadaan perniagaan, di samping menguruskan kos perbelanjaan dengan cermat dan berhemah. 

 

"Kami turut menjangkakan pasaran kekal tidak menentu dalam tempoh jangka masa pendek terutamanya ketidaktentuan mata wang asing dan kadar faedah serta akan mengurus instrumen lindung nilai dari semasa ke semasa," jelasnya. -DagangNews.com