Hasil segmen perniagaan runcit Aeon pada 4QFY23 susut 4.9% kepada RM859 juta berbanding RM903 juta pada tahun sebelumnya | DagangNews Skip to main content

Hasil segmen perniagaan runcit Aeon pada 4QFY23 susut 4.9% kepada RM859 juta berbanding RM903 juta pada tahun sebelumnya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Feb - Hasil segmen perniagaan runcit Aeon Co (M) Bhd susut sebanyak 4.9% kepada RM859 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2023 (4QFY23) berbanding RM903.7 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Penyusutan itu disebabkan oleh kesan asas yang tinggi pada suku sama tahun lalu.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu mencatatkan untung bersih lebih tinggi sebanyak RM32.6 juta pada 4QFY23 atau peningkatan 30.9% berbanding RM24.9 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.

 

Hasil daripada segmen perkhidmatan pengurusan hartanah meningkat kepada RM174.3 juta, 10.2% lebih tinggi berbanding suku yang sama sebanyak RM158.1 juta, disumbangkan oleh peningkatan dalam kadar penghunian dan pembaharuan sewa yang berkesan.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) mencatatkan untung bersih RM114.8 juta atau peningkatan 3.2% berbanding RM111.2 juta pada FY22 tetapi hasil kumpulan itu susut kepada RM4.12 bilion berbanding RM4.14 bilion pada FY22.

 

Pengarah Urusan Aeon, Keiji Ono berkata, peningkatan keuntungan itu adalah hasil komitmen kumpulan dalam memberi nilai kepada pelanggan menerusi gabungan portfolio produknya, terutamanya jenama sendiri serta mempercepatkan peralihan digital serta pengurusan kos operasi yang baik.

 

Katanya, kejayaan itu disokong oleh prestasi perkhidmatan pengurusan hartanahnya.

 

"Kami sedang giat mengembangkan kehadirannya dalam komuniti melalui pembukaan kedai baharu dan projek pembaharuan untuk kedai dan pusat beli-belah.

 

"Pada 2023, Aeon berjaya meningkatkan keselesaan dan kemudahan pelanggan menerusi pembaharuan pusat beli-belah Aeon Melaka dan Aeon Mall Cheras Selatan," katanya dalam satu kenyatan, hari ini.

 

Kumpulan ini akan memberikan komitmen terhadap inisiatif hijau termasuk pemasangan panel solar di pusat beli-belahnya.

 

Aeon telah memasang sistem solar fotovoltaik (PV) secara berperingkat di pusat beli-belahnya dan sehingga kini tujuh pusat membeli-belah telah berjaya menyelesaikan pemasangan panel solar, dengan jangkaan penjanaan elektrik daripada solar menjelang Mac. - DagangNews.com