Hasil sektor perkhidmatan berkembang 6.1% kepada RM594.5 bilion pada suku pertama 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Hasil sektor perkhidmatan berkembang 6.1% kepada RM594.5 bilion pada suku pertama 2024 - DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - Hasil sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.1% tahun ke tahun kepada RM594.5 bilion pada suku pertama 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan sebanyak 6.1% disumbangkan segmen perdagangan borong & runcit, makanan & minuman serta penginapan yang meningkat RM23.3 bilion kepada RM451.6 bilion. 

 

"Ini diikuti oleh segmen maklumat & komunikasi dan pengangkutan & penyimpanan (RM5.2 bilion; 6.7%),  segmen profesional, hartanah dan pentadbiran & khidmat sokongan (RM3.3 bilion; 9.5%) dan segmen kesihatan swasta, pendidikan swasta, kesenian, hiburan & rekreasi serta perkhidmatan persendirian & lain-lain aktiviti (RM2.4 bilion; 12.7%),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, perbandingan suku tahun ke suku tahun, jumlah hasil meningkat 0.5% berbanding suku tahun keempat tahun lalu.

 

Katanya, peningkatan itu didorong segmen maklumat & komunikasi serta pengangkutan & penyimpanan yang meningkat 1.4 % (RM1.1 bilion).

 

perkhidmatan

 

"Ia diikuti oleh segmen profesional, hartanah dan pentadbiran & khidmat sokongan (RM900 juta; 2.3%),  segmen perdagangan borong & runcit, makanan & minuman serta penginapan (RM700 juta; 0.2%) dan segmen kesihatan swasta, pendidikan swasta, kesenian, hiburan & rekreasi dan perkhidmatan persendirian & lain-lain aktiviti (RM500 juta; 2.3%)," katanya.

 

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, pendapatan e-dagang mencatatkan nilai sebanyak RM293.2 bilion atau pertumubhan 0.5% dari tahun ke tahun pada suku pertama 2024 dan bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pendapatan segmen itu meningkat secara marginal sebanyak 0.5%.

 

Beliau berkata, jumlah pekerja dalam sektor itu adalah seramai 4.4 juta orang, meningkat 72,200 orang atau 1.7% dari tahun ke tahun.

 

"Kenaikan ini dipacu oleh subsektor perdagangan borong & runcit dengan peningkatan sebanyak 41,500 orang atau 2.1%, diikuti subsektor pengangkutan & penyimpanan (14,600 orang; 4%). Bagi suku tahun ke suku tahun, jumlah pekerja meningkat  0.1%, meningkat 5,800 orang," katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, gaji dan upah yang dibayar mencatatkan peningkatan sebanyak RM1 bilion atau 3.3% dan kenaikan itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong & runcit dan pengangkutan & penyimpanan yang masing-masing bertambah sebanyak RM400 juta (2.8%) dan RM100 juta (5.3%). 

 

Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, gaji dan upah berkembang 0.8% kepada RM32.3 bilion pada suku pertama 2024. - DagangNews.com