HeiTech Padu, MPKK jalin kerjasama pacu Kulim jadi bandar pintar | DagangNews Skip to main content

HeiTech Padu, MPKK jalin kerjasama pacu Kulim jadi bandar pintar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Feb - Kerjasama strategik antara HeiTech Padu Bhd dan Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) bersedia untuk memacu pembangunan daerah itu, membuka jalan untuk berkembang menjadi bandar pintar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HeiTech Padu, Salmi Nadia Mohd Hilmey menekankan kepentingan kerjasama dengan MPKK, ia menandakan komitmen bersama ke arah mewujudkan bandar pintar yang mampan melalui inovasi, penggunaan teknologi termaju, dan pemeliharaan alam sekitar.

 

"Kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada tujuh komponen utama yang disenaraikan dalam Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia, iaitu ekonomi pintar, kehidupan pintar, persekitaran pintar, penduduk pintar, kerajaan pintar, mobiliti pintar dan infrastruktur digital pintar.

 

"MPKK mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas dalam bidang perancangan bandar, manakala HeiTech Padu adalah pakar IT yang berpengalaman dalam pembangunan rumusan pintar. Setiap organisasi mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing," katanya pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik antara MPKK dan HeiTech Padu di Kulim Inn di sini.

 

Turut hadir Pengerusi MPKK, Datuk Elmi Yusoff; Pegawai Daerah Kulim, Mohd Zaini Ramli dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Cina, India, Siam dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wong Chia Zhen.

 

Salmi Nadia turut melahirkan keyakinan gabungan kepakaran kedua-dua pihak mampu membentuk pasukan petugas yang lebih mantap dan berkesan.

 

"Sebagai rakan kongsi teknologi, kami komited untuk membantu MPKK dalam mengenal pasti dan mencadangkan penyelesaian pintar yang relevan untuk penyepaduan ke dalam operasi dan perkhidmatan sedia ada, selain memberikan nasihat mengenai trend teknologi terkini.

 

"Berdasarkan kejayaan pelaksanaan parkir pintar Kulim dan pemahaman menyeluruh tentang keperluan dan aspirasi semasa MPKK, saya yakin HeiTech Padu akan menyumbang dengan ketara kepada perkongsian ini," katanya.

 

Beliau berkata, HeiTech Padu telah membangunkan rumusan pintar untuk sektor awam dan swasta, sejajar dengan perubahan landskap perniagaan dan trend pendigitalan global semasa.

 

"Sejak lima tahun kebelakangan ini, kami telah secara proaktif mencipta rumusan pintar untuk meningkatkan proses kutipan cukai dan sewa bagi pihak berkuasa tempatan, mewujudkan saluran komunikasi yang berkesan dan cekap, menyelaraskan operasi perkhidmatan kaunter, meningkatkan penyampaian bil dan penyata, dan meningkatkan sektor pelancongan dalam negeri masing-masing.

 

"Beberapa rumusan seperti penyelesaian parkir pintar dan aplikasi pintar untuk pihak berkuasa tempatan sedang diguna pakai oleh beberapa pihak berkuasa tempatan di seluruh negara sehingga kini," tambahnya.

 

Elmi menekankan bahawa kerjasama antara MPKK dan HeiTech Padu akan memanfaatkan kepakaran masing-masing, memupuk kerjasama dalam merangka strategi optimum untuk melaksanakan bandar pintar bagi memastikan MPKK memenuhi keperluan masyarakat di Kulim dengan berkesan, lapor Bernama.

 

"Kami menjangkakan banyak perubahan dalam tempoh lima tahun ini dan kami juga akan mula melaksanakan tujuh komponen utama rangka kerja bandar pintar di seluruh Kulim.

 

"Kulim akan berkembang seiring dengan kemajuan teknologi. Bagaimanapun, untuk mencapai status bandar pintar sepenuhnya mungkin mengambil sedikit masa, mungkin sekitar 10 hingga 15 tahun lagi, tambahnya. - DagangNews.com