HeiTech Padu raih kontrak RM40.9 juta daripada Kementerian Pendidikan sewa komputer riba kepada guru di Pantai Timur | DagangNews Skip to main content

HeiTech Padu raih kontrak RM40.9 juta daripada Kementerian Pendidikan sewa komputer riba kepada guru di Pantai Timur

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Sept - HeiTech Padu Berhad telah menerima kontrak bernilai RM40.9 juta daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (MOE) untuk menyewakan komputer riba kepada guru di Kelantan dan Terengganu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata ia telah menerima surat anugerah pada 13 September bagi perkhidmatan sewaan komputer riba mesra alam yang memenuhi keperluan hijau secara sewa milik untuk keperluan guru di sekolah dan institusi pendidikan melibatkan negeri Kelantan dan Terengganu.

 

HeiTech Padu berkata kontrak tersebut adalah untuk tempoh 63 bulan atau 5 tahun 3 bulan, bermula 15 September 2023 hingga 14 Disember 2028.

 

“Kontrak ini adalah untuk kepentingan terbaik syarikat dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23),” katanya.

 

Saham HeiTech Padu ditutup rendah pada 65 sen, susut 0.5 sen atau 0.8% dengan permodalan pasarannya bernilai RM65.8 juta.  - DagangNews.com