HeiTech Padu terima kontrak RM190 juta daripada JPJ selenggara infrastruktur ICT, sistem mySIKAP | DagangNews Skip to main content

HeiTech Padu terima kontrak RM190 juta daripada JPJ selenggara infrastruktur ICT, sistem mySIKAP

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 April - HeiTech Padu Berhad menerima kontrak bernilai RM190.01 juta daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal infrastruktur ICT serta Sistem Informasi Kenderaan dan Pemandu (mySIKAP) di pusat data dan semua pejabat JPJ.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak itu adalah selama 36 bulan bermula 1 Mei 2024 hingga 30 April 2027.

 

"Kontrak itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Kelantan miliki 15.9% kepentingan HeiTech Padu, Farhash Wafa jelaskan isu saham

 

"Kontrak ini adalah untuk kepentingan terbaik Syarikat dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya sehingga kontrak selesai," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, risiko berkenaan projek itu adalah risiko biasa yang dihadapi dan syarikat telah mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi diri serta mengurangkan risiko sekiranya berlaku.

 

Katanya, tiada pengarah atau pemegang saham besar atau mana-mana orang yang berkaitan dengan pengarah atau pemegang saham utama HeiTech mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan. - DagangNews.com