Hektar REIT ambil alih kampus Kolej Yayasan Saad berharga RM150 juta | DagangNews Skip to main content

Hektar REIT ambil alih kampus Kolej Yayasan Saad berharga RM150 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - Hektar Real Estate Investment Trust (REIT) bercadang mengambil alih kampus Kolej Yayasan Saad (KYS) di Melaka daripada KYS College Sdn. Bhd (KCSB) pada harga RM150 juta.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Hektar REIT berkata, pihaknya sudah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan KCSB untuk pengambilalihan bangunan satu setengah, dua dan tiga tingkat yang membentuk kemudahan pentadbiran, akademik, kediaman dan pelajar KYS.

 

Mereka akan membiayai sebahagian besar harga pembelian melalui gabungan tunai dan terbitan 99,757,594 unit baharu melalui penempatan persendirian, yang akan mengumpul sehingga RM56.56 juta untuk syarikat itu.

 

Jika perlu, syarikat mungkin menerbitkan unit baharu kepada KCSB bagi membiayai perjanjian itu.

 

Hektar REIT merancang untuk mengambil alih pajakan 30 tahun pengendali KYS, KYSA Education Sdn Bhd, yang ditandatangani dengan KCSB pada 22 Jun 2023, sebaik sahaja perjanjian itu selesai.

 

"Di bawah pengaturan itu, Hektar REIT akan memperoleh sewa sebanyak RM8.1 juta untuk tahun pertama, diikuti dengan kenaikan sewa tahunan sebanyak 2.5%.

 

"Aset itu merupakan tambahan berkualiti kepada portfolio Hektar REIT dan menambah baik kepelbagaian campuran hartanah keseluruhannya dengan kurang pergantungan pada sektor runcit," katanya.

 

Selain itu, mereka akan meluaskan kawasan boleh disewa bersih Hektar REIT sebanyak 396,874 kaki persegi atau 20% daripada saiz sedia ada iaitu 2 juta kaki persegi.

 

Jumlah nilai aset Hektar REIT juga akan meningkat sebanyak RM150 juta atau 12% daripada RM1.21 bilion pada 31 Disember 2022. - DagangNews.com