Hextar Capital selesai ambil alih 49% pegangan ekuiti Transgrid Ventures berharga RM98 juta | DagangNews Skip to main content

Hextar Capital selesai ambil alih 49% pegangan ekuiti Transgrid Ventures berharga RM98 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jan - Hextar Capital Berhad yang dahulunya dikenali sebagai Opcom Holdings Berhad berjaya menyelesaikan pengambilalihan 5.39 juta saham biasa yang mewakili 49% kepentingan ekuiti dalam Transgrid Ventures Sdn. Bhd. berharga RM98 juta.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pembelian itu akan dipenuhi menerusi gabungan saham dan tunai. 

 

Katanya, menerusi pembelian itu Transgrid kini merupakan syarikat bersekutu Hextar Capital dan penyelesaian pemerolehan itu menyaksikan kumpulan memasuki bidang perniagaan penjanaan kuasa.

 

Pengarah Urusan Hextar Capital, Johnson Chang berkata, penyelesaian pemerolehan itu merupakan satu lagi langkah penting dalam transformasi kumpulan itu dan beliau juga percaya bahawa keupayaan teknikal, asas pelanggan serta bakat Transgrid akan menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan. 

 

"Hextar Capital mengalu-alukan kehadiran Transgrid kerana kepelbagaian itu akan menyatukan pasukan kejuruteraan dan inovasi kumpulan bagi mengorak langkah penting dalam membina infrastruktur dalam menyokong penjanaan kuasa dan penghantaran di negara ini.

 

"Kumpulan ini berada pada kedudukan terbaik untuk membina perniagaan yang lebih mampan untuk pemegang sahamnya dan ia akan diteruskan dengan penglibatan Transgrid," katanya.

 

Kedua-dua syarikat berkongsi komitmen bagi menyediakan penyelesaian infrastruktur penjanaan kuasa yang berdaya tahan. - DagangNews.com