Hextar Global sedia ceburi industri durian, ambil alih kilang bernilai RM84 juta | DagangNews Skip to main content

Hextar Global sedia ceburi industri durian, ambil alih kilang bernilai RM84 juta

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 4 Julai - Hextar Global Bhd bersedia untuk menceburi industri durian menerusi cadangan pengambilalihan PHG Ever Fresh Group Sdn Bhd, salah satu kilang pemprosesan dan pengeksport durian terbesar di Malaysia, bernilai RM84 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Hextar berkata, anak syarikat miliknya, Hextar Fruits Sdn Bhd memeterai perjanjian penjualan saham dengan PHG Ever Fresh Group untuk mengambil alih 100% kepentingan dalam tiga anak syarikatnya iaitu PHG Ever Fresh Food (M) Sdn Bhd, PHG Ever Fresh Food (TK) Sdn Bhd dan PHG Wholesale & Retails Sdn Bhd.

 

Katanya, perjanjian itu termasuk pengambilalihan 55% kepentingan dalam PHG Ever Fresh Plantation Sdn Bhd.

 

"Prospek dan unjuran industri durian terus kekal kukuh dengan peningkatan permintaan daripada pengguna tempatan dan global untuk 'raja buah-buahan', khususnya Musang King.

 

"Cadangan pengambilalihan itu bertujuan untuk menyediakan kumpulan pendapatan baharu bagi mengembangkan segmen pertanian kami dan membolehkan kami mengambil bahagian dalam pertumbuhan kukuh industri durian," kata Pengarah Urusan Kumpulan, Lee Chooi Keng.

 

Beliau berkata, cadangan pengambilalihan itu akan membolehkan kumpulan memanfaatkan faedah sinergistik dan hasil tambahan yang diperoleh daripada pembekalan produk kimia pertanian dan baja kepada pembekal PHG Group.

 

Katanya, cadangan pengambilalihan itu akan dibiayai sepenuhnya dalam bentuk tunai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank. - DagangNews.com