Hextar Industries ambil alih 70% kepentingan dalam Hextar Mitai kembangkan perniagaan produk industri | DagangNews Skip to main content

Hextar Industries ambil alih 70% kepentingan dalam Hextar Mitai kembangkan perniagaan produk industri

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Dis - Hextar Industries Berhad telah memeterai perjanjian jualan saham (SSA) dengan Hextar Holdings Sdn Bhd, untuk mengambil alih 70% kepentingan dalam Hextar Mitai Sdn Bhd (HMT) untuk pertimbangan tunai sebanyak RM4.55 juta.

 

Pertimbangan untuk pengambilalihan itu mewakili 70% daripada nilai aset bersih HMT berdasarkan penyata kewangan teraudit terakhir pada 31 Disember 2022 sebanyak RM6.5 juta.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Benny Ang berkata HMT menyediakan pelbagai jenis industri termasuk sektor minyak dan gas, makanan dan minuman, aeroangkasa dan taman hiburan dengan rekod prestasi lebih 15 tahun dalam kejayaan menyiapkan projek. 

 

"Dengan pengambilalihan ini, Kumpulan HIB akan mempunyai akses segera kepada keupayaan kejuruteraan khusus untuk melengkapkan perniagaan sedia ada kami.

 

"Kami juga akan dapat memanfaatkan pangkalan pelanggan kumpulan yang lebih luas untuk mencapai sinergi lebih besar," ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Benny berkata Pengasas HMT, Ke Tung Chen akan terus berkhidmat sebagai Pengarah Urusan HMT, sekali gus memastikan kesinambungan dalam pengurusan. Tambahnya, Ke juga memegang baki 30% kepentingan dalam syarikat itu.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif HIB, Alex Sham menambah bahawa HMT juga terlibat secara aktif dalam kelestarian alam sekitar dan pengurusan sisa, termasuk telah dianugerahkan projek daripada United Nation Industrial Development Organization (UNIDO) untuk menghapuskan Poly Chloribated Biphenlys (PCB) di Indonesia.

 

"HMT bekerjasama dengan Ecolsir s.r.l dari Itali dalam projek ini yang memusnahkan PCB, serta memperbaharui minyak terawat untuk digunakan sebagai minyak transformer untuk aplikasi elektroteknikal (minyak penebat mineral). 

 

"Kami percaya bahawa pengambilihan ini dan pertimbangan alam sekitar berkaitan adalah tanggungjawab sosial yang penting untuk mencapai kejayaan perniagaan jangka panjang," katanya. - DagangNews.com