KUALA LUMPUR 19 Julai - Hibiscus Petroleum Bhd. komited untuk menyelesaikan perselisihan faham berhubung tuntutan cukai yang perlu dibayar dengan pihak berkuasa Sabah secara baik dan kolaboratif.
Menurut syarikat minyak dan gas itu, ia demi kepentingan bersama kedua-dua pihak dalam meminimumkan gangguan kepada operasi.
Katanya, adalah menjadi dasar kumpulan untuk sentiasa membayar semua cukai apabila perlu dan perlu dibayar secara sah.
"Dalam surat yang diterima daripada pejabat Ketua Menteri Sabah bertarikh 8 Julai 2022, telah dinyatakan bahawa syarikat bertanggungjawab ke atas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) atas dasar bahawa ia menyediakan 'barangan bercukai', iaitu minyak petroleum mentah dan gas asli dari Sabah.
"Pada 11 Julai 2022, syarikat telah menjawab surat tersebut untuk menjelaskan bahawa menurut Akta Pembangunan Petroleum 1974, mereka tidak boleh dan tidak menyediakan 'barangan bercukai' tersebut dari Sabah dan oleh itu tidak bertanggungjawab di sisi undang-undang bagi SST.
"Ini adalah pendirian yang telah disahkan oleh penasihat undang-undang cukai syarikat," jelasnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Baca : Sabah akan batalkan permit kerja Hibiscus Petroleum jika gagal bayar cukai, penalti RM97.31 juta pada 1 Oktober 2022
Ini susulan daripada laporan Malay Mail Online bahawa Sabah akan membatalkan permit kerja untuk dua unit minyak Hibiscus Petroleum yang beroperasi di negeri itu jika mereka tidak menjelaskan cukai dan penalti yang terhutang pada tarikh akhir yang ditetapkan.
Dalam laporan itu, Menteri Kewangan Negeri II Datuk Masidi Manjun berkata, notis tindakan telah dikeluarkan kepada Repsol Oil & Gas Ltd dan SEA Hibiscus Sdn Bhd, yang kedua-duanya dimiliki sepenuhnya oleh Hibiscus, pada 8 Julai selepas tempoh tangguh selama seminggu untuk menjelaskan tunggakan.
Masidi berkata, beberapa perbincangan telah berlangsung antara kedua-dua pihak untuk menyelesaikan perselisihan faham mereka, dengan Kerajaan Negeri menuntut kira-kira RM97.31 juta, terdiri daripada RM66 juta cukai jualan dan RM31.31 juta penalti yang dikenakan untuk pembayaran lewat.
Hibiscus menjelaskan, wakil-wakil daripada syarikat juga telah mengadakan perbincangan secara berterusan dengan pegawai kerajaan negeri Sabah dengan objektif untuk menjelaskan isu kebolehgunaan SST kepada syarikat.
"Bagaimanapun, syarikat akan mengambil tindakan sepatutnya untuk melindungi hak dan kepentingannya dengan undang-undang yang sewajarnya apabila mereka dikekang untuk berbuat demikian," katanya.
Dalam penutupan petang ini, harga saham Hibiscus Petroleum susut 5 sen atau 5.62% kepada 84 sen dengan 64.21 juta saham diniagakan. - DagangNews.com