Hibiscus Petroleum menerusi Anasuria peroleh kawalan ke atas baki 30% kepentingan dalam lesen pengeluaran minyak UK | DagangNews Skip to main content

Hibiscus Petroleum menerusi Anasuria peroleh kawalan ke atas baki 30% kepentingan dalam lesen pengeluaran minyak UK

KUALA LUMPUR 15 Okt - Hibiscus Petroleum Bhd berkata anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Anasuria Hibiscus UK Ltd, bersedia untuk beroperasi di blok Laut Utara atas dasar 100% pemilikan.

 

Ini berlaku selepas NEO Energy (ZPL) Ltd menyerahkan 30% kepentingannya dalam lesen pengeluaran petroleum UK yang berkaitan kepada Anasuria, kata Hibiscus.

 

Anasuria dan NEO telah dianugerahkan 70% dan 30% kepentingan masing-masing dalam lesen itu.

 

Dalam pemaklumannya di Bursa Malaysia, Hibiscus berkata NEO Energy pada Julai menyatakan hasratnya untuk menarik diri daripada lesen itu.

 

"Memandangkan kerja teknikal yang telah dilakukan berada di tahap maju sekarang dan nilai yang ditambah projek ini kepada kluster Anasuria, maka Anasuria Hibiscus telah memutuskan untuk meneruskan aktiviti berkaitan lesen atas dasar 100% kepentingan," katanya.

 

Hibiscus menambah bahawa pemindahan kepentingan NEO Energy kepada Anasuria telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peralihan Laut Utara UK.

 

Anasuria ialah pengendali yang dilantik untuk Blok 21/24d, yang mengandungi penemuan Teal West.

 

Saham dalam Hibiscus menokok 2.5 sen atau 2.75% untuk ditutup pada 93.5 sen pada Jumaat (14 Okt), memberikannya permodalan pasaran RM1.87 bilion. - DagangNews.com