HLIB jangka HeveaBoard luaskan pegangan pasaran perabot di Jepun selepas harga produk Eropah meningkat | DagangNews Skip to main content

HLIB jangka HeveaBoard luaskan pegangan pasaran perabot di Jepun selepas harga produk Eropah meningkat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 April - Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB) menjangkakan HeveaBoard Berhad meluaskan pegangan pasaran di Jepun selepas pembeli dari negara itu mengalihkan tempahan perabot ke rantau Asia Tenggara berbanding Eropah sebelum ini.

 

Firma itu berkata, peralihan itu berlaku selepas pengeluar kayu dari Eropah menaikkan haraga jualan purata (ASP) dan kenaikan kos logistik yang didorong oleh kenaikan harga tenaga di Eropah serta gangguan rantaian bekalan.

 

Katanya, kesan kenaikan kos itu memberi manfaat kepada Hevea apabila jumlah jualan papan partikel di Jepun menunjukkan peningkatan signifikan sejak 2H21 dan negara itu merupakan antara pasaran eksport utama mereka.

 

"Hevea mendapat manfaat besar daripada peralihan permintaan itu dan ia akan membantu meluaskan pegangan pasaran di Jepun dengan menggunakan pengalaman bagi memasarkan produk yang selama ini berjaya menepati standard ketat negara itu.

 

"Bagi memenuhi permintaan tinggi itu, Hevea akan melabur sejumlah RM10 juta untuk menabah mesih pengeluaran baharu bagi menghasilkan papan berlamina MFC yang bakal memberikan margin keuntungan lebih besar berbanding papan biasa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, segmen perabot sedia dipasang (RTA) tidak mengalami sebarang masalah untuk memenuhi peningkatan permintaan di pasaran Jepun dan pada masa sama, kumpulan itu sudah menghantar permohonan untuk membawa masuk pekerja asing ke dalam segmen itu.

 

Bagaimanapun, Hevea sedang berusaha menambah baik proses pengeluaran mereka bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pekerja termasuk melabur RM10 juta untuk meningkatkan penggunaan mesin berautomasi. 

 

"Sebagai tambahan, mereka juga membelanjakan RM20 juta untk membina hostel baharu bagi memenuhi syarat di bawah Akta Perumahan dengan kapasiti 1,500 pekerja untuk segmen RTA," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, pendapatan Hevea akan bertambah baik pada 2Q terutama selepas bekalan bahan mentah sudah kembali baik dan ia akan mengukuhkan eksport jualan papan partikel ke Jepun dan sekali gus meningkatkan margin keuntungan mereka.

 

Pada masa sama, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM0.63 selepas mengambil kira pendedahan kumpulan kepada industri lestari dan inisitif positif mereka dalam menambah baik amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). - DagangNews.com