HLIB turunkan penarafan Bursa Malaysia kepada 'pegang' ekoran kekurangan pemangkin selepas PRU15 | DagangNews Skip to main content

HLIB turunkan penarafan Bursa Malaysia kepada 'pegang' ekoran kekurangan pemangkin selepas PRU15

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun penarafan Bursa Malaysia Bhd. kepada 'pegang' daripada 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM6.43 berbanding RM7 sebelum ini. 

 

Ini berikutan 'dagangan pasca pilihan raya umum ke-15 (PRU15)' yang dicadangkan sebelum ini telahpun diambil kira, dan ketiadaan pemangkin kepada nilai purata dagangan harian (ADV).

 

Menurutnya, sejurus selepas pembubaran Parlimen pada Oktober lalu, Bursa Malaysia diramalkan mengalami lonjakan jangka pendek dalam ADV selepas PRU15, mencetuskan kenaikan harga saham dan seterusnya menjadikannya matang untuk dagangan.

 

"Ini telah berlaku seperti yang dihipotesiskan dengan ADV pada November meningkat 24.5% bulan ke bulan sebelum susut 8.6% pada Disember. 

 

"Prestasi harga saham juga telah memainkan peranannya, meningkat 16.7% (mencapai TP RM7 kami pada 24 November 2022) sejak laporan kami menaik taraf Bursa Malaysia," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu mendapati ADV setakat Januari ini secara relatif tidak berubah bulan ke bulan pada RM1.96 bilion.

 

HLIB berkata, walaupun pembukaan semula China pada 8 Januari lalu dan kesan positif yang terhasil boleh membantu meningkatkan sentimen pelabur, tetapi ia diimbangi dengan peningkatan kebarangkalian kemelesetan di Amerika Syarikat (AS).

 

"Pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) yang 'pivot' terhadap hala tuju dasar monetarinya (jika kemelesetan AS berlaku) adalah positif kepada ADV. 

 

"Bagaimanapun, kami berpendapat masih terlalu cair untuk menjadikannya sebagai kes asas," jelasnya. 

 

Sehubungan itu, ia mengurangkan andaian ADV bagi 2023 dan 2024 masing-masing sebanyak 5% dan 4% kepada RM2.2 bilion dan RM2.3 bilion.

 

"Selain mengurangkan anggaran ADV ini, kami juga mengubah perbelanjaan operasi yang mengakibatkan pengurangan bersih dalam ramalan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dan FY24 masing-masing sebanyak 2.8% dan 0.5%," katanya.

 

Pada masa sama, HLIB menjangkakan Bursa Malaysia akan merekodkan keuntungan sebanyak RM53 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 apabila laporannya kewangannya diumumkan 31 Januari ini. 

 

Unjuran itu, katanya, berdasarkan kepada ADV Sekuriti pada suku keempat sebanyak RM1.9 bilion (meningkat 19% suku ke suku, susut 24% tahun ke tahun) manakala Derivatif sebanyak 79,000 (susut 3% suku ke suku, meningkat 12% tahun ke tahun).

 

"Jika ramalan kami tepat, ini akan berada dalam unjuran tahun penuh FY22/konsensus kami pada 101%/102%," jelasnya.

 

Setakat 10.52 pagi ini, harga saham Bursa Malaysia menokok 2 sen atau 0.3% kepada RM6.67 dengan 52,600 saham diniagakan. - DagangNews.com