KUALA LUMPUR 26 Mei - Honda Malaysia menganjurkan acara ‘GEN H Event’ yang mewakili ‘Honda, Hybrid dan Hype’ untuk berkongsi keseronokan teknologi hibrid jenama kenderaan itu dengan rakyat Malaysia, sepanjang Jun 2023.
Acara itu dijadualkan berlangsung di tiga lokasi, termasuk Taman Desa Tebrau, Johor Bahru pada 3 hingga 4 Jun; Juru Auto City, Pulau Pinang 10 hingga 11 Jun dan acara terakhir di Stadium Bukit Jalil pada 17 hingga 18 Jun.
Honda Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia juga bertujuan untuk membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memahami dan mengalami teknologi Hibrid Honda, khususnya teknologi e:HEV yang kini ditawarkan dalam barisan kenderaan Honda.
"Acara itu akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti fun fair, arked, pandu uji, bengkel, bazar makanan dan minuman, kerjasama seni grafiti dengan artis tempatan dan sebagainya. Honda Malaysia menjemput semua rakyat Malaysia untuk ‘Mengalami Hibrid, cara Honda’ di lokasi terdekat dengan anda. Masuk adalah percuma," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, jenama kenderaan itu merupakan perintis dalam memperkenalkan teknologi hibrid kepada rakyat Malaysia sejak 19 tahun lalu apabila menawarkan teknologi 'Integrated Motor Assist' (IMA) dalam Civic Hybrid.
"Maklum balas kepada teknologi IMA adalah positif dan kami terus memperkenalkan Sport Hybrid i-DCD pada 2017 dalam model City dan Jazz hybrid yang bernilai untuk wang, menyeronokkan untuk dipandu dan dipacu prestasi, memenuhi pasaran massa. Ia juga mengubah persepsi kereta hibrid dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Hari ini, teknologi berkembang dengan ketara, dengan teknologi hibrid termaju kami yang terkini, e:HEV, sistem hibrid dua motor yang memberikan prestasi berkuasa dan kecekapan pada masa sama mengekalkan DNA Honda yang menyeronokkan untuk dipandu," katanya.
Penjana kuasa 1.5L e:HEV mula diperkenalkan kepada rakyat Malaysia pada 2020 bersama City. Ia merupakan pelancaran penting, kerana ia juga merupakan Tayangan Perdana Dunia bagi varian RS e:HEV.
Honda Malaysia kemudiannya memperkenalkan rangkaian kuasa 1.5L e:HEV dalam City Hatchback dan HR-V pada 2022.
Sejak pelancaran ketiga-tiga varian e:HEV, Honda Malaysia telah menjual lebih 2,800 unit City, 1,600 unit City Hatchback dan lebih daripada 2,600 unit HR-V.
Pada November 2022, Honda Malaysia melancarkan rangkaian kuasa 2.0L e:HEV termaju dalam model Civic. Varian ini meningkatkan lagi Segmen C dengan penawaran teknologi dan ciri hibrid paling canggih. Sehingga kini, Honda Malaysia telah menjual hampir 600 unit Civic e:HEV.
Selama lebih 30 tahun, Honda telah menyelidik dan membangunkan rangkaian kuasa elektrik untuk EV, kenderaan sel bahan api dan kenderaan hibrid. - DagangNews.com