Hong Leong Bank catat untung bersih RM930 juta pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Hong Leong Bank catat untung bersih RM930 juta pada 3QFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei - Hong Leong Bank Berhad telah mencatatkan keuntungan bersih kira-kira RM930 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023, meningkat 18.5% daripada RM784.8 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bank dalam suku berakhir 31 Mac 2023 ini turut meningkat 3.6% kepada RM1.4 bilion berbanding RM1.35 bilion sebelumnya, manakala pendapatan sesaham (EPS) bernilai 45.4 sen.

 

Secara kumulatif pula, sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) menyaksikan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 24% kepada RM2.95 bilion daripada RM2.38 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

 

Pendapatan dalam tempoh tersebut meningkat 6.9% kepada RM4.38 bilion berbanding RM4.1 bilion sebelumnya, dengan EPS pada 144.2 sen dan pulangan ke atas ekuiti (ROE) meningkat kepada 12.3%.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank, Domenic Fuda berkata kumpulan itu kekal optimistik dengan berhati-hati terhadap prospek perniagaan untuk baki 2023.

 

 

Domenic Fuda
Domenic Fuda

 

 

"Kami gembira dengan prestasi bank yang kukuh setakat ini yang disokong oleh pertumbuhan sihat pinjaman/pembiayaan, kualiti kukuh aset serta pembiayaan dan kedudukan mudah tunai yang berhemat walalupun landskap global perlahan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata permintaan dalam negeri berdaya tahan disokong oleh pengembangan berterusan dalam penggunaan swasta dan peningkatan dalam aktiviti pelaburan dijangka membantu mengatasi masalah luar dan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global.

 

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa risiko kemelesetan yang berlarutan dalam kalangan ekonomi utama akan terus mengeruhkan prospek pertumbuhan global.

 

Menurut Hong Leong Bank, peningkatan pendapatan pada 9MFY23 telah didorong oleh sumbangan pendapatan bukan faedah yang melonjak 43.7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM919 juta dan pertumbuhan pinjaman industri.

 

 “Pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan terus memberikan pertumbuhan kukuh sebanyak 7.2% tahun ke tahun kepada RM174.2 bilion, didorong oleh pengembangan dalam segmen utama gadai janji, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan komersial, serta operasi luar negara,” tambahnya.

 

Sementara itu, kualiti aset kukuh dikekalkan dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) sebanyak 0.52% dan nisbah perlindungan terjejas pinjaman berhemat (LIC) sebanyak 197%.

 

Setakat 31 Mac 2023, nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) berada pada 84% manakala nisbah perlindungan mudah tunai (LCR) kekal melebihi keperluan kawal selia pada 140%. -DagangNews.com