KUALA LUMPUR 21 Nov - Hong Leong Bank (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank (HLISB) menawarkan penangguhan pembayaran sehingga enam bulan untuk semua pelanggan yang terjejas dengan bencana banjir.
Bank itu berkata, pelan bantuan itu ditawarkan kepada pelanggan individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi kemudahan pinjaman dan pembiayaan, termasuk kad kredit.
"HLB juga menawarkan penggantian percuma bagi dokumen bank seperti kad debit dan kredit serta cek dan penyata bank yang rosak atau hilang dalam banjir.
"Bagi pelanggan PKS dan perusahaan mikro sedia ada, pembiayaan tambahan akan disediakan kepada mereka yang memerlukan modal kerja bagi memudahkan pemulihan perniagaan mereka akibat banjir," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu, pelanggan hanya perlu memberikan nama pemegang akaun, nombor kad pengenalan, nombor akaun, nombor hubungan, alamat e-mel, alamat lokasi terjejas banjir dan foto situasi banjir mereka untuk memohon bantuan tersebut.
Sebarang maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian 03-79591888 atau emel kepada [email protected] atau mengunjungi cawangan HLB dan HLISB terdekat.
Pelanggan korporat dan perniagaan digalakkan untuk menghubungi pengurus perhubungan untuk bantuan. - DagangNews.com