Hospital UCSI perkenal inisiatif bantu ringankan beban pesakit dialisis kurang berkemampuan jalani rawatan | DagangNews Skip to main content

Hospital UCSI perkenal inisiatif bantu ringankan beban pesakit dialisis kurang berkemampuan jalani rawatan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Jun - Hospital UCSI memperkenalkan inisiatif baharu yang dikenali sebagai Projek ADiC (Adopt-a-Dialysis-Chair), bertujuan membantu meringankan beban pesakit dialisis yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan.

 

Projek ADiC Hospital UCSI menghubungkan pesakit dengan individu, syarikat, yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bakal menaja keperluan rawatan mereka.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan UCSI, Datuk Peter Ng berkata, walaupun tempoh penajaan untuk setiap penaja sekurang-kurangnya tiga bulan rawatan, namun mereka boleh memilih pelan fleksibel yang mana tiga bulan yang dipersetujui penajaannya boleh diatur selang sebulan atau dua.

 

Beliau berkata, inisiatif penajaan ini merupakan salah satu inisiatif pihak hospital untuk memberi kembali kepada masyarakat.

 

"Kami mahu memberi nafas baharu kepada pesakit dialisis, khususnya mereka daripada golongan B40.

 

"UCSI mahu menyumbang lebih banyak kepada landskap penjagaan kesihatan Malaysia dan kami berminat untuk meneroka perhubungan di antara awam dan swasta dengan lebih lagi. Kami bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pelbagai bidang," katanya dalam kenyataan.

 

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa melancarkan Projek ADiC dan pusat hemodialisis Hospital UCSI di Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

 

 

ucsi

 

 

Zaliha memaklumkan, lebih daripada 10 penaja telah bersetuju setakat ini, dan ia memberi harapan yang cerah buat 13 pesakit dialisis di bawah Projek ADiC.

 

Ditubuhkan pada 2021, Hospital UCSI merupakan sebahagian daripada UCSI Health Metropolis, sebuah projek mega yang bertujuan untuk menjadikan Springhill sebagai hab pelancongan perubatan. - DagangNews.com