HRD Corp didedah guna RM3.77 bilion hasil kutipan levi untuk pelaburan - PAC | DagangNews Skip to main content

HRD Corp didedah guna RM3.77 bilion hasil kutipan levi untuk pelaburan - PAC

PAC ingatkan HRD Corp bukan institusi pelaburan.

KUALA LUMPUR 4 Julai - Sebanyak RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

 

Ini antara isu yang didedahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hasil melalui prosiding yang dijalankan selama sembilan bulan.

 

Pelaburan yang dilakukan oleh HRD Corp juga bernilai RM3.84 bilion pada nilai pasaran sehingga Mac 2024.

 

Dapatan itu diperoleh menerusi slaid pembentangan HRD Corp bertarikh 12 Mac 2024 seperti dinyatakan dalam laporan PAC berhubung Pengurusan Dana Latihan Dan Keberkesanan HRD Corp di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

 

mas
MAS ERMIEYATI SAMSUDIN

 

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, perlu diingatkan bahawa HRD Corp bukanlah institusi pelaburan. 

 

"Aktiviti pelaburan ini berisiko tinggi dan boleh menimbulkan kerugian besar kepada HRD Corp," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

 

Kata beliau, melalui prosiding yang dijalankan, jawatankuasa itu mendapati kutipan levi dicatatkan HRD Corp meningkat begitu ketara iaitu RM2.134 bilion pada 2023 berbanding RM475 juta pada 2020.

 

jan
Infografik Jabatan Audit Negara

 

Peningkatan itu didorong perluasan Akta Pembangunan Sumber Manusia 2001 (Akta PSMB 2001) di mana pengenaan levi diwajibkan kepada semua sektor industri.

 

"Matlamat penubuhan syarikat adalah bagi pengenaan dan pemungutan levi pembangunan sumber manusia bagi maksud penggalakan latihan dan pembangunan kerja, perantis dan pelatih serta penubuhan dan pentadbiran Kumpulan Wang.

 

"Namun, PAC mendapati HRD CORP yang bukan sebuah institusi pelaburan telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan dengan menggunakan wang levi seperti 'put and call option'," jelasnya.

 

Kadar levi bagi majikan dengan 10 atau lebih pekerja Malaysia adalah 1%, manakala ia adalah 0.5% bagi majikan dengan kurang daripada 10 pekerja Malaysia. - DagangNews.com