KUALA LUMPUR 30 Mei - Anak syarikat HSS Engineers Berhad meraih kontrak bernilai kira-kira RM15 juta atau AS$3.2 juta daripada Kementerian Kerja Raya dan Pengangkutan Kemboja berhubung perkhidmatan konsultan bagi pembinaan sebuah lebuh raya di negara itu.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, HSS Engineers berkata, HSS Engineering Sdn Bhd (HSSE), subsidiari milik penuhnya telah menandatangani kontrak perjanjian dengan kerajaan Kemboja bagi perkhidmatan perundingan kontrak kejuruteraan bagi pembinaan Projek Lebuh Raya Phnom-Penh-Bavet.
"Skop perkhidmatan HSSE di bawah Kontrak ini adalah untuk menyediakan sokongan teknikal dan perkhidmatan perundingan kepada klien mengenai semua aspek teknikal yang berkaitan dengan reka bentuk, pembinaan, operasi, dan penyelenggaraan Projek Lebuh Raya Phnom Penh-Bavet," katanya.
Menurut pemakluman itu, tempoh kontrak yang diterima HSSE adalah bermula Jun 2024 dan berakhir Jun 2028.
ARTIKEL BERKAITAN: HSS Engineers terima kontrak khidmat rundingan bernilai RM9.51 juta daripada Pengurusan Aset Air
"Kontrak dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan, pendapatan bersih, dan aset bersih bagi Kumpulan HSS Engineers untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024 hingga 31 Disember 2028," jelasnya.
Kontrak dijangka didanai melalui dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman luaran, kata HSS Engineers. - DagangNews.com