Hubungan Malaysia-Brunei akrab, ATM sertai pameran Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) | DagangNews Skip to main content

Hubungan Malaysia-Brunei akrab, ATM sertai pameran Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB)

Pegawai dan kru pesawat A400 TUDM bergambar bersama Sultan Hassanal Bolkiah semasa terlibat dalam pameran statik sempena Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 3 Jun - Hubungan dua hala antara Malaysia-Brunei dieratkan lagi apabila delegasi negara terlibat dalam pameran statik sempena Hari Ulang Tahun (HUT) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

 

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghantar sebuah pesawat Airbus A400M dan Sukhoi SU-30MKM bagi menyertai pameran statik tersebut di Pangkalan Udara Kem Rimba.

 

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Sultan Omar Ali Saifuddien berkenan bercemar duli menyaksikan pameran statik dan bertemu dengan delegasi ATM yang diketuai Mejar Syaffiza Abdul Razak.

 

Baginda turut meninjau kedua-dua buah pesawat yang dipamerkan.

 

Sultan Hassanal Bolkiah bergambar bersama kru pesawat Sukhoi SU-30MKM.

 

Turut menyertai pameran statik berkenaan adalah tentera-tentera udara bersekutu seperti dari Amerika Syarikat (P8 Poseidon dan CL-605), Britain (Puma), Filipina (CN295 Vip), Singapura (F16, H225M dan Puma), Indonesia (CN295 MPA dan Puma) dan Australia (C27J). 

 

Kerjasama pertahanan Malaysia-Brunei penting khususnya dalam aspek keamanan dan kestabilan dengan mengambil kira cabaran dan serta ancaman keselamatan semasa di rantau ini.

 

Hubungan ini berkembang melalui pelaksanaan operasi, latihan bersama dan program pertukaran pegawai serta anggota angkatan tentera kedua-dua negara.

 

ABDB turut menyertai pasukan pengaman Batalion Malaysia dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lebanon sejak 2008.

 

Brunei turut menyertai pasukan pengaman Batalion Malaysia di Lebanon sejak 2008.
Brunei turut menyertai pasukan pengaman Batalion Malaysia di Lebanon sejak 2008.

 

Selain itu, Brunei juga menganggotai Tim Pemantau Antarabangsa di Mindanao, Filipina yang diketuai oleh Malaysia sejak 2004.

 

Dalam pada itu, syarikat pembinaan kapal negara, Gading Marine (M) Sdn. Bhd. (Gading Marine) turut hadir apabila menyertai pameran aset industri pertahanan.

 

Gading Marine mempamerkan model bot pemintas laju (FIC) buatan tempatan, G2000 MkII yang turut diguna Tentera Laut Diraja Malaysia.

 

FIC yang panjang 18 meter memiliki dua jentera 1,550 kuasa kuda dengan sistem dorongan jet ini dikendalikan lima kru serta mampu membawa hingga lapan anggota.

 

Bot ini dipasang dengan tenggekan senjata kawalan jauh atau Remote Control Weapon Station (RCWS) yang membolehkan turet senjata menembak tanpa mendedahkan kru.

 

Sultan Hassanal Bolkiah diberi penerangan oleh Pengerusi Gading Marine, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany (kiri) tentang bot FIC G2000 MkII.
Sultan Hassanal Bolkiah diberi penerangan oleh Pengerusi Gading Marine, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany (kiri) tentang bot FIC G2000 MkII.

 

Kunjungan delegasi Gading Marine ke Brunei adalah untuk memberikan penerangan lebih terperinci berhubung keupayaan G2000 MkII ini.

 

Peluang untuk Gading Marine meluaskan pasaran ke Brunei sangat positif berdasarkan kesesuaian FIC ini beroperasi di kawasan perairan negara itu.

 

Bot ini juga antara aset-aset ketenteraan yang ditunjukkan kepada umum pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 2023) yang baru berakhir. - DagangNews.com