i-City dijangka terima sekurang-kurangnya 17 juta pelawat menjelang akhir 2023 | DagangNews Skip to main content

i-City dijangka terima sekurang-kurangnya 17 juta pelawat menjelang akhir 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Jun - I-Berhad menjangkakan kehadiran sekurang-kurangnya 17 juta pelawat ke i-City menjelang akhir tahun ini.

 

Pengerusi I-Berhad Tan Sri Lim Kim Hong berkata, i-City telah menikmati pertumbuhan yang stabil, sejak pembukaan anak syarikatnya, DoubleTree by Hilton i-City pada Julai tahun lalu.

 

Tahun lalu, kumpulan itu memperuntukkan RM10 juta ke arah penambahbaikan segmen riadahnya dengan projek penambahbaikan bermula tahun ini.

 

"Ia akan menyaksikan penambahan taman tema tertutup Xcite seluas 4,654 meter persegi dan pusat pengalaman salji lima dimensi di atas lightscapes yang sangat Instagrammable,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) hari ini.

 

Kim Hong berkata, penambahbaikan itu, bersama-sama dengan sambutan penyewa untuk Central Mall i-City dan i-City Finance Avenue yang sangat menggalakkan akan mewujudkan sinergi yang lebih hebat dengan DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City yang mempunyai ruang perjumpaan sebanyak 1,700 meter persegi yang sesuai untuk aktiviti Bleisure – mesyuarat, insentif, konvensyen, pameran (MICE) dan acara tahunan.

 

iberhad
Tan Sri Lim Kim Hong (kiri) selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) I-Berhad, hari ini.

 

“Perkembangan ini akan mewujudkan alasan yang baik untuk pengunjung bernilai tinggi dari merata tempat datang dan menghabiskan masa mereka di Ultrapolis ini. Selanjutnya, perkara ini akan memberi manfaat kepada komuniti perniagaan yang lain dalam i-City,” katanya.

 

Sementara itu, kumpulan I-Berhad juga mengumumkan program Satu Shah Alam, Satu Destinasi yang akan berlangsung selama setahun bermula bulan Julai ini.

 

Menerusi program itu, I-Berhad ingin menjemput komuniti sekitar i-City untuk mendapat manfaat daripada ruang fizikal dan aplikasi super (superapp) i-City – yang kini telah dimuat turun oleh lebih 100,000 pengguna.

 

“Dengan mengambil kira amalan kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kami ingin memainkan peranan kami dan memartabatkan perusahaan budaya, ekonomi, sosial dan perusahaan mikro tempatan dengan menjemput mereka untuk bekerjasama dengan kami. 

 

"Terdapat banyak ruang dalam alam fizikal dan maya di mana kita boleh meneroka peluang untuk berkembang bersama dan mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif di i-City untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan menyumbang ke arah kemajuan sosio-ekonomi ibu kota Selangor, Shah Alam," katanya. - DagangNews.com