KUALA LUMPUR 12 Julai - Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) akan bekerjasama dengan University of Cambridge Institute for Sustainability Leadership (CISL) untuk menganjurkan program pendidikan eksekutif berkaitan kepemimpinan lestari untuk industri kewangan Islam.
Program Kelestarian Kepimpinan untuk Institusi Kewangan ini akan diadakan pada 14 hingga 15 Julai ini dan dirasmikan oleh Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid.
Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, IBFIM sangat teruja di atas peluang untuk bekerjasama dengan CISL, sebuah institusi kelestarian global terkemuka.
"Kami yakin bahawa program ini yang dihasilkan secara eksklusif oleh CISL untuk industri kewangan Islam akan mendorong penerapan VBI dan memperperkukuhkan peranan industri dalam memajukan masa depan yang lestari.
"Sehubungan itu, kami juga berterima kasih atas sokongan dan komitmen dari anggota VBI-COP dalam pembangunan program tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiga kumpulan pembelajaran akan mengikuti program ini, di mana kumpulan pembelajaran pertama bakal dihadiri oleh 32 peserta daripada 17 institusi perbankan Islam yang terdiri daripada Ahli-Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif dan pegawai pengurusan kanan.
Program ini dianjurkan bagi menyokong komitmen oleh Komuniti Pengamal (COP) Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM).
Sementara itu, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif CISL, Claire Shine berkata, selama lebih 30 tahun CISL menjalin kerjasama dengan pelbagai peringkat termasuklah pemimpin dalam bidang perniagaan dan kewangan, pembuat dasar dan masyarakat umum.
Katanya, ini dapat membantu mereka memahami dan menangani cabaran global yang kritikal serta menggunakan pengetahuan dan jaringan sedia ada sebagai perantara bagi memajukan konsep kelestarian.
"Kami amat komited untuk menangani perubahan iklim, melindungi dan memulihkan alam semula jadi dalam membina masyarakat yang inklusif dan berdaya tahan.
"Malah, kami juga berharap dengan kerjasama yang sedia ada bersama IBFIM, program kepemimpinan transformatif ini dapat dilaksanakan bagi membantu institusi kewangan mengambil tindakan terhadap risiko dan peluang di dalam era global yang berubah dengan pantas," katanya. - DagangNews.com