Iconic Worldwide catat kerugian bersih bernilai RM24.3 juta pada FY23 | DagangNews Skip to main content

Iconic Worldwide catat kerugian bersih bernilai RM24.3 juta pada FY23

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Jun - Iconic Worldwide Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM24.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23), selepas menyusutkan nilai inventori sarung tangannya.

 

Syarikat dalam kenyataan berkata, penjejasan nilai, yang dibuat pada suku keempat berakhir 31 Mac 2023, mewakili pelarasan sekali sahaja berjumlah kira-kira RM17 juta. 

 

Katanya, pelarasan itu dibuat untuk mengambil kira perbezaan antara kos awal pengeluaran sarung tangan dan pelitup muka dalam inventorinya, dan nilai boleh direalisasikan bagi inventori tersebut. 

 

"Walaupun pelarasan itu memberi kesan kepada nilai kedua-dua inventori, pelarasan menjadi penting apabila ia melibatkan inventori sarung tangan kumpulan.

 

"Kos awal inventori sarung tangan kumpulan adalah lebih tinggi bila diambil kira komponen kos termasuk kos memulakan kilang baharu, serta perbelanjaan operasi lain yang diperlukan untuk memperkenalkan produk baharu ke pasaran," katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi Iconic Worldwide, Datuk Seri Tan Kean Tet berkata, pihaknya kekal optimistik tentang asas industri pembuatan sarung tangan. 

 

Katanya, untuk lebih strategik, pelarasan sekali akan membolehkan kumpulan lebih menumpukan pada pertumbuhan perniagaan baharu. 

 

 

iconic
                                      Datuk Seri Tan Kean Tet

 

 

"Ia tidak mencerminkan kepercayaan kami terhadap prospek positif industri sarung tangan, dan seperti yang kami nyatakan sebelum ini, kami tetap teruja dengan potensi pertumbuhan masa depannya. 

 

"Selain itu, kami menjangkakan penormalan kos bahan mentah dapat membantu perniagaan pembuatan sarung tangan mendapat keuntungan dalam masa terdekat," katanya.

 

Sementara itu, Iconic Worldwide memperkenalkan produk penjagaan diri baharu di bawah jenama Iconic Medicare, selari dengan produk sarung tangan baharu yang akan memberikan nilai dipertingkatkan daripada perspektif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

 

 

iconic

 

 

Tan berkata, pihaknya tetap mempertaruhkan sarung tangan sebagai permintaan jangka panjang, yang lazimnya meningkat seiring dengan peningkatan kesedaran orang ramai tentang kebersihan diri dan bahaya penyakit berjangkit, terutamanya dalam pasaran baharu.

 

"Apabila ekonomi dibuka semula dan aktiviti harian meningkat, kami menjangkakan permintaan untuk produk Iconic Medicare akan turut meningkat. 

 

"Dengan pengembangan rangkaian produk sarung tangan kami, beserta produk peralatan perlindungan diri (PPE) baharu, kumpulan akan dapat memanfaatkan kehadiran jenama kami yang mantap dan keupayaan pengeluaran untuk mendapat peluang pasaran ini," katanya. - DagangNews.com