IHH Healthcare cadang beli Sime Darby Health Care bernilai RM5.67 bilion | DagangNews Skip to main content

IHH Healthcare cadang beli Sime Darby Health Care bernilai RM5.67 bilion

Ara Damansara Medical Centre, satu daripada hospital yang dikendali oleh Ramsay Sime Darby.

KUALA LUMPUR 22 Mac - IHH Healthcare Bhd telah mengemukakan cadangan sulit, bersyarat, tidak mengikat dan indikatif untuk memperoleh 100% daripada Ramsay Sime Darby Health Care Sdn Bhd pada harga RM5.67 bilion.

 

Ramsay Sime Darby ialah syarikat usaha sama di Asia yang dimiliki Sime Darby Holdings Bhd (SDH) dan Ramsay Health Care iaitu pengendali hospital swasta terbesar di Australia.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, IHH berkata, Ramsay dan SDH telah bersetuju dengan tempoh eksklusif (empat minggu) untuk membenarkan IHH menjalankan usaha wajar dan merundingkan perjanjian jual beli.

 

Menurutnya, perbincangan antara IHH, Ramsay dan SDH adalah awal dan tiada persetujuan dicapai berhubung cadangan indikatif itu.

 

“Tiada jaminan bahawa persetujuan akan dicapai berhubung cadangan indikatif atau transaksi akan berlaku.

 

"IHH akan mengemas kini pemegang saham dan orang ramai yang melabur mengenai sebarang perkembangan penting berkaitan cadangan indikatif itu," katanya.

 

Ramsay Sime Darby (RSDH) baru-baru ini mengambil alih Hospital Manipal Klang (MHK) yang kini diberi nama baharu Pusat Perubatan Bukit Tinggi (BTMC). 

 

Jika urus niaga ini dimuktamadkan, ia akan menjadi penamat kepada Ramsay selama 18 tahun di rantau ini, di mana ia meletakkan matlamat untuk mewujudkan kumpulan penjagaan kesihatan yang lebih besar di Asia.

 

Ramsay akan mengubah matlamatnya untuk berkembang di Australia melalui pemerolehan di kawasan baharu serta di Eropah, di mana ia baru-baru ini membeli Elysium Healthcare di UK. - DagangNews.com