IHH kini fokus perkukuh kedudukan di India menerusi Fortis - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

IHH kini fokus perkukuh kedudukan di India menerusi Fortis - AmInvestment

IHH Healthcare Bhd. melupuskan 62.2% pegangan dalam Continental Hospitals Pte Ltd yang diperolehnya pada 2015.
 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 15 Dis - Langkah IHH Healthcare Bhd. melupuskan 62.2% pegangan dalam Continental Hospitals Pte Ltd membolehkannya memperkukuhkan kedudukannya di India menerusi Fortis Healthcare, menurut AmInvestment Bank Research. 

 

Semalam, kumpulan rangkaian hospital itu mengumumkan telah melengkapkan penjualan keseluruhan kepentingan dalam Continental Hospitals kepada Dr. Gurunath Reddy dan sekutunya, yang merupakan rakan kongsi pemegang saham dalam hospital Hyderabad.

 

Pelupusan itu merupakan sebahagian daripada semakan semula strategi portfolio kumpulan dalam usaha mengukuhkan keupayaan penjagaan kesihatan dan mencipta nilai kepada pihak berkepentingan.

 

Penganalisis AmInvestment, Alan Lim Seong Chun bagaimanapun berkata, dengan jumlah katil lebih daripada 200, Continental Hospitals masih lagi kecil berbanding lebih 15,000 katil yang dimiliki kumpulan IHH. 

 

"Namun, bagi pasaran India, IHH mempunyai pendedahan yang ketara menerusi Fortis Healthcare yang mengendalikan 27 hospital dan 4,000 katil.

 

"Oleh itu, dari segi operasi kami positif dengan langkah ini kerana membolehkan kumpulan memberi fokus di India," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 

Continental Hospitals memiliki hospital yang terletak di Hyderabad, India. Sebelum ini, pada 2015, IHH memperoleh 51% pegangan dalam Continental Hospitals dan kemudiannya meningkatkannya kepada 62%.

 

Menurut laman webnya, kepakaran utama hospital ini termasuk gastroenterologi, onkologi, ortopedik, neurosains, kardiologi dan pemindahan pelbagai organ.

 

Dari segi penilaian kewangan, Seong Chun berkata, masih tidak dapat dipastikan kerana harga jualan tidak didedahkan dalam pengumuman tersebut. 

 

"Setakat ini, kami mengekalkan unjuran pendapatan IHH bagi tahun kewangan 2021 (FY21), FY22 dan FY23," katanya.

 

Malah, firma itu turut mengekalkan saranan 'pegang' terhadap IHH dengan nilai wajar tidak berubah pada RM6.27 sesaham. 

 

Setakat 12.21 tengah hari ini, saham IHH susut 1 sen atau 0.15% kepada RM6.49 dengan 829,500 saham diniagakan. - DagangNews.com