IJM ambil alih 45% pegangan dalam Pestec International bernilai RM124 juta | DagangNews Skip to main content

IJM ambil alih 45% pegangan dalam Pestec International bernilai RM124 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Julai -  IJM Corporation Berhad mengambil alih 44.83% pegangan dalam Pestech International Berhad bernilai RM124 juta melalui terbitan terhad, menandakan kemasukan kumpulan pembinaan ke dalam sektor penghantaran tenaga.

 

Gabungan keupayaan Pestech dalam isyarat kereta api dan elektrifikasi juga melengkapkan portfolio rantaian nilai terpelbagai IJM.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, keupayaan gabungan kedua-dua kumpulan sebagai kontraktor sivil dan sistem membolehkan penawaran penyelesaian yang lebih komprehensif dan turnkey untuk tawaran projek rel tempatan dan antarabangsa.

 

IJM berkata, mereka telah menandatangani perjanjian dengan Pestech untuk langganan 800 juta saham dalam Pestech pada 15.5 sen sesaham, yang mewakili diskaun sebanyak 47.46% berbanding harga dagangan terakhir Pestech sebanyak 29.5 sen, dan diskaun sebanyak 48.38% daripada harga pasaran purata 48.38. 

 

Ini akan menyebabkan IJM menjadi pemegang saham terbesar Pestech dengan 44.83% pegangan modal saham Pestech yang diperbesarkan.

 

Pada masa ini, pemegang saham utama Pestech ialah pengerusinya Lim Ah Hock (dengan 32.51% kepentingan) dan pengarah urusan merangkap ketua pegawai eksekutifnya Paul Lim Pay Chuan (19.32% kepentingan).

 

IJM berkata, langganan saham itu akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman atau pinjaman bank. Pada akhir Mac, IJM mempunyai pinjaman jangka pendek RM1.71 bilion dan pinjaman jangka panjang RM3.65 bilion. Deposit, tunai dan baki banknya berjumlah RM2.83 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM, Lee Chun Fai, berkata pelaburan strategik dalam Pestech ini akan membawa peluang sinergi bagi kedua-dua syarikat dalam sektor penghantaran tenaga dan elektrifikasi rel yang semakin meningkat.

 

"Dengan memasukkan keupayaan Pestech ke dalam portfolio kami yang pelbagai, kami akan mewujudkan sinergi dan memberikan penyelesaian menyeluruh kepada pelanggan merentasi pelbagai sektor.

 

"Secara bersama, kami berada pada kedudukan yang baik untuk mengukuhkan kedudukan kami dalam industri, mempelbagaikan aliran pendapatan dan memacu pertumbuhan yang mampan," katanya.

 

Berdasarkan keperluan kawal selia, IJM dipertanggungjawabkan untuk membuat tawaran pengambilalihan mandatori bagi baki saham serta waran Pestech tetapi syarikat itu tidak berhasrat untuk meneruskan obligasi itu dan akan mendapatkan pengecualian daripada Suruhanjaya Sekuriti selepas Pestech mendapat kelulusan pemegang sahamnya.

 

Transaksi itu dijangka selesai pada suku keempat tahun ini dan Alliance Islamic Bank Berhad merupakan penasihat utama manakala Newfields Advisors Sdn Bhd adalah penasihat kewangan untuk transaksi tersebut. - DagangNews.com