Imbangan akaun semasa Malaysia catat lebihan RM9.1 bilion pada suku ketiga 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Imbangan akaun semasa Malaysia catat lebihan RM9.1 bilion pada suku ketiga 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Nov - Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia pada suku ketiga 2023 meningkat marginal sebanyak 0.3% suku ke suku untuk mencatatkan lebihan RM9.1 bilion, bersamaan 2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Akaun Kewangan berubah kepada aliran masuk bersih RM14.9 bilion berbanding aliran keluar bersih RM11.6 bilion pada suku sebelumnya. 

 

Dalam tempoh Januari hingga September, CAB mencapai lebihan RM22.5 bilion, manakala Akaun Kewangan merekodkan aliran masuk bersih RM1 bilion.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, lebihan CAB pada suku tahun ketiga 2023 sebahagian besarnya disokong oleh eksport bersih barangan yang lebih tinggi, diikuti defisit yang lebih rendah dalam perkhidmatan dan akaun pendapatan sekunder”.

 

Katanya, eksport bersih Akaun Barangan meningkat kepada RM32.7 bilion pada suku ketiga daripada RM29.5 bilion pada suku sebelumnya, dengan eksport meningkat 2.2% kepada RM260.4 bilion.

 

"Eksport utama ialah barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum dan bahan kimia dan keluaran kimia, terutamanya ke Singapura, China dan Amerika Syarikat (AS).

 

"Begitu juga, import barangan turut menunjukkan peningkatan 1% suku ke suku untuk mencapai RM227.7 bilion, terutamanya disumbangkan oleh barangan Perantaraan. China, Singapura dan USA adalah sumber utama import," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

 

dosm

 

 

Mohd Uzir berkata, pelaburan langsung asing (FDI) mencatatkan aliran masuk bersih yang lebih tinggi RM7.2 bilion  berbanding RM3.1 bilion pada suku ketiga pada suku sebelumnya.

 

"Penerima FDI terbesar ialah sektor perkhidmatan terutamanya dalam aktiviti kewangan dan perlombongan dan pengkuarian. Hong Kong, China dan United Kingdom merupakan sumber utama utama FDI," katanya.

 

Aliran keluar bersih pelaburan langsung di luar negari (DIA) meningkat kepada RM13.4 bilion berbanding RM8 bilion pada suku sebelumnya.

 

Penyumbang utama DIA adalah sektor perkhidmatan, khususnya dalam aktiviti kewangan, diikuti oleh sektor perlombongan dan pengkuarian serta pertanian, yang mana tiga destinasi utama DIA ialah Indonesia, Angola dan Vietnam.

 

Pada akhir suku ketiga 2023, kedudukan pelaburan terkumpul bagi FDI dan DIA masing-masing berjumlah RM914.9 bilion dan RM659.6 bilion. Jumlah aset kewangan berjumlah RM2,399.5 bilion berbanding jumlah liabiliti RM2,296.3 bilion. - DagangNews.com