IMF, Bank Dunia beri amaran risiko kemelesetan global semakin meningkat | DagangNews Skip to main content

IMF, Bank Dunia beri amaran risiko kemelesetan global semakin meningkat

Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.

NEW YORK 11 Okt - Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia memberi amaran bahawa risiko kemelesetan semakin meningkat apabila ekonomi maju perlahan dan inflasi yang lebih pantas,  demikian menurut laporan Bloomberg hari ini.

 

Situasi itu memaksa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) untuk terus menaikkan kadar faedah, menambah kepada tekanan hutang ke atas negara membangun.

 

Di Amerika Syarikat (AS), ekonomi terbesar dunia, pasaran buruh masih sangat kukuh tetapi kehilangan momentum kerana kesan kos pinjaman yang lebih tinggi 'mula menggigit', kata Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva pada Isnin.

 

Zon euro pula semakin perlahan apabila harga gas asli melambung tinggi, begitu juga dengan China akibat gangguan COVID-19 dan ketidaktentuan dalam sektor perumahan.

 

Kiraan IMF mendapati satu pertiga daripada ekonomi dunia akan mengalami penguncupan sekurang-kurangnya dua suku berturut-turut tahun ini dan seterusnya, dengan kerugian pengeluaran menjelang 2026 ialah AS$4 trilion (RM18.69 trilion).

 

Pada masa sama, pembuat dasar tidak boleh membiarkan inflasi 'berlalu begitu sahaja', kata Georgieva pada acara maya yang memulakan mesyuarat tahunan IMF dan Bank Dunia. 

 

"Jika anda tidak mengambil tindakan dengan secukupnya, kita akan berada dalam masalah," tegas beliau.

 

Beliau menambah bahawa sokongan fiskal harus disasarkan dengan baik, supaya ia tidak mencetuskan inflasi, dan dunia perlu membantu ekonomi membangun dan sedang pesat membangun yang terjejas teruk dengan mengetatkan keadaan kewangan.

 

Sementara itu, dalam laporan Bloomberg itu juga, Presiden Bank Dunia, David Malpass turut memberi amaran terdapat 'bahaya sebenar' penguncupan di seluruh dunia pada tahun depan. 

 

"Kekuatan dolar melemahkan mata wang negara membangun, meningkatkan hutang mereka ke tahap 'membebankan'," katanya. - DagangNews.com