iMHome Property, KAB Gold tawar peluang miliki rumah impian guna emas | DagangNews Skip to main content

iMHome Property, KAB Gold tawar peluang miliki rumah impian guna emas

Shahrul Izuan Shafie (berdiri) dan Khairul Anuar Basri menunjukkan kepingan emas pada majlis pemeteraian MoU antara iMHome Property dan KAB Gold di Kuala Lumpur pada 5 Jun 2024.

KUALA LUMPUR 5 Jun - iMHome Property Management Sdn Bhd memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan KAB Goldynamics Sdn. Bhd. (KAB Gold) bertujuan membolehkan orang ramai yang memiliki pegangan emas fizikal bagi membina rumah kediaman idaman mereka.

 

Ketua Pegawai Pemasaran iMHome, Shahrul Izuan Shafie berkata, ini merupakan kerjasama ‘menang-menang’ pertama seumpamanya diperkenalkan dengan menjadikan pegangan emas tersebut sebagai kaedah pembayaran alternatif kepada rakyat Malaysia.

 

Ditubuhkan pada tahun 2016, iMHome property sebuah syarikat kontraktor Bumiputera sudah membangunkan beratus-ratus buah rumah kediaman pelbagai jenis berkualiti tinggi di seluruh negara melalui pembayaran secara tunai.

 

 

Shahrul Izuan berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan KAB Gold dalam menawarkan penyelesaian terbaharu yang memberi peluang kepada orang ramai menggunakan pegangan emas sama ada jongkong, kepingan emas atau barangan kemas untuk membina rumah kediaman yang diinginkan.

 

Beliau berkata, kini semakin ramai yang membeli emas bagi tujuan pelaburan atau simpanan masa depan mereka kerana popularitinya meningkat disebabkan ia menawarkan keuntungan yang berlipat kali ganda sejak kebelakangan ini.

 

“Di bawah kerjasama ini, iMHome akan membangunkan rumah kediaman manakala KAB Gold pula bertindak sebagai pengurus transaksi jualan emas antara pelanggan dengan iMHome property termasuklah menentu sahkan ketulenan dan nilai semasa pegangan emas fizikal tersebut,” kata beliau dalam kenyataannya di sini.

 

Menurut Shahrul Izuan, KAB Gold akan menukar pegangan emas milik pelanggan yang terlibat kepada tunai sebelum dijadikan daripada kos pembinaan rumah kediaman, wang pendahuluan sehingga 50 peratus.

 

“Kami melihat usaha ini sebagai langkah penting dalam meningkatkan keupayaan rakyat Malaysia untuk memiliki rumah sendiri. iMHome property misalnya menawarkan pelbagai reka bentuk rumah kediaman serendah RM65,000 dan ke atas.”

 

Shahrul Izuan berkata, kemudahan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia termasuk juga 40,000 ahli KAB Gold di seluruh negara.

 

Katanya, mereka yang mempunyai pegangan emas fizikal juga boleh membina rumah inap desa bagi meningkatkan pendapatan, sekali gus menjadi usahawan dalam perniagaan tersebut.

 

Ini merupakan antara dimensi baharu pemasaran syarikat selain memperluaskan lagi akses kepada pemilikan rumah yang lebih fleksibel dan inovatif.

 

“Kami mahu membantu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah idaman mereka, sambil memanfaatkan pegangan emas sebagai aset untuk pembayaran. Ini tidak hanya memudahkan proses pemilikan rumah, tetapi juga memberikan peluang ekonomi yang lebih luas kepada masyarakat,” kata beliau lagi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KAB Gold, Khairul Anuar Basri pula berkata, kemudahan ini adalah satu peluang yang sangat baik dalam memiliki rumah secara bayaran penuh tanpa perlu bergantung kepada hutang pembiayaan yang agak membebankan. - DagangNews.com