Impak IBR, harga karbon hanya terhad, CGS-CIMB kekal saranan 'tambah' bagi saham TNB | DagangNews Skip to main content

Impak IBR, harga karbon hanya terhad, CGS-CIMB kekal saranan 'tambah' bagi saham TNB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Semakan parameter Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) dan pengenalan harga karbon hanya memberi kesan yang terhad ke atas pendapatan Tenaga Nasional Bhd. (TNB), menurut CGS-CIMB. 

 

Ini membolehkan firma itu mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham TNB dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM13.60 berbanding RM13.40 sebelum itu. 

 

Semakan harga sasaran itu dibuat sejajar dengan permulaan penilaian bagi tahun kewangan 2023 (FY23), masih berdasarkan kepada 15x nisbah harga kepada pendapatan bagi tahun kewangan 2023, yang mencerminkan julat dagangan saham TNB dalam tempoh IBR.

 

Kebimbangan mengenai kesan risiko IBR bagi tempoh regulatori ketiga (RP3, 2022-2024), risiko pendapatan daripada mekanisme harga karbon dan penambahan rebat elektrik dibangkitkan pelabur ketika sesi taklimat bersama pengurusan TNB baru-baru ini. 

 

Namun, penganalisis CGS-CIMB, Ngo Siew Teng berkata, kerangka kerja bagi penetapan harga karbon masih lagi di peringkat awal dan masih belum mempunyai sebarang butiran terperinci setakat ini.

 

"Kos tambahan yang meningkat daripada penetapan harga karbon untuk jana kuasa tenaga juga berkemungkinan akan diluluskan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurutnya, TNB kini masih di peringkat perbincangan dengan Suruhanjaya Tenaga berhubung parameter RP3 dan maklumat selanjutnya dijangka dikeluarkan akhir tahun ini.

 

Di bawah RP1 (2015-2017, pulangan terkawal TNB ke atas aset terkawalnya ialah 7.5% dengan penutupan asas aset terkawal (RAB) sebanyak RM54.8 bilion.

 

Bagi RP2 (2018-2020) pula, pulangan terkawal susut kepada 7.3% dengan penutupan RAB pada RM59.1 bilion.

 

Menerusi lanjutan RP2 (2021), pulangan terkawal ini kekal pada 7.3% dengan penutupan RAB dijangka sebanyak RM62.4 bilion.

 

"Untuk RP3, kami menjangkakan RAB akan mencatat kadar pertumbuhan antara 3 hingga 4% setahun memandangkan lebih banyak peruntukan perbelanjaan (capex) terkawal akan diperuntukkan bagi memudahkan peralihan tenaga. 

 

"Meskipun, RP3 mungkin memberi pulangan terkawal yang lebih rendah adalah negatif kepada TNB tetapi kami berpendapat, asas aset yang tinggi akan mengehadkan penurunan pendapatan. 

 

"Kami menjangkakn pengurangan sekitar 30 mata asas dalam pulangan terkawal dan pertumbuhan 3% setahun bagi RAB di bawah RP3," jelasnya.

 

Dalam pada itu, Siew Teng menjangkakan TNB mungkin tidak akan melaksanakan langkah spin-off terhadap TNB Power Generation Sdn Bhd (GenCo) dalam masa terdekat memandangkan kumpulan masih meningkatkan kecekapan operasi walaupun dengan mudah dapat menangani isu berkaitan pendapatan berasaskan arang batu.

 

"TNB pada Ogos lalu, melancarkan hala tuju kemampanannya untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050, yang diterima baik oleh pelabur," tambahnya.

 

Bagi mencapai aspirasi ini, kumpulan menyasarkan untuk mencapai kapasiti tenaga diperbaharui (RE) 8,300MW pada 2025.

 

Malah, TNB juga komited mengurangkan pelepasan sehingga 35% daripada jana kuasa arang batu menjelang 2035 berbanding 50% pada tahun lalu, ke arah mencapai bebas arang batu pada 2050 dengan membuat pelaburan dan brkembang dalam teknologi hijau.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB melihat TNB berada dalam kedudukan yang kukuh dan mampu merekodkan hasil dividen yang menarik melebihi 4% bagi tahun kewangan 2021 dan meraih manfaat daripada peralihan tenaga. - DagangNews.com