Impiana Hotels: Mahkamah benarkan Public Bank tarik balik saman ke atas 4 defendan | DagangNews Skip to main content

Impiana Hotels: Mahkamah benarkan Public Bank tarik balik saman ke atas 4 defendan

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 10 Jan - Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Public Bank untuk menarik balik saman ke atas defendan termasuk Astaka Mekar Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Magma yang sebelum ini dikenali sebagai Impiana Hotels Berhad.

 

Perkara itu diputuskan ketika prosiding pengurusan kes yang berlangsung semalam.

 

Selain Astaka Mekar, tiga lagi defendan dalam kes tersebut ialah Data Sepadu Sdn Bhd, Impiana Sdn Bhd dan Datuk Seri Ismail @ Farouk Abdullah.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Magma berkata, penarikan ini dibenarkan mahkamah dengan kebebasan kepada plaintif untuk  memfailkan semula dan tanpa perintah untuk kos.

 

Public Bank Bhd pada Jun lalu dilaporkan menyaman unit Impiana Hotels Bhd untuk menuntut RM44.36 juta.

 

Berdasar pemakluman bertarikh 14 Jun 2023, Impiana menyatakan saman itu difailkan atas dakwaan kegagalan menjelaskan jumlah tertunggak yang perlu dibayar di bawah kemudahan pinjaman empat penggal dan kemudahan overdraf.

 

Impiana Hotels kemudian pada 19 Disember lalu memaklumkan kepada Bursa pertukaran nama kepada Magma Group Berhad.

 

magma
Pertukaran nama Impiana Hotels kepada Magma Group Berhad ddimaklumkan kepada Bursa pada 19 Disember lalu.

 

Sementara itu, dalam kenyataan media hari ini, Magma memaklumkan, perkembangan terbaharu kes ini memberikan peluang untuk syarikat menyusun semula fokus dan strategi untuk masa depan, tanpa terikat prtikaian undang-undang yang berlarutan.

 

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Thomas Liang berkata, keputusan ini membolehkan tumpuan syarikat beralih kepada memanfaatkan peluang baharu dan mengukuhkan komitmen terhadap pertumbuhan perniagaan yang mampan. 

 

"Kami optimistik tentang masa depan dan bersedia untuk meneroka jalan baharu yang sejajar dengan objektif strategik kami," katanya.

 

Dalam tempoh suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY2023), Magma mencatatkan kerugian bersih RM2.75 juta berbanding kerugian RM3.47 juta dalam tempoh yang sama tahun 2022 (3QFY2022).

 

Ini adalah hasil daripada pendapatan suku tahunan sebanyak RM4.54 juta berbanding RM5.61 juta pada 3QFY2022.

 

Setakat 12.30 tengah hari ini, harga saham Magma ialah 27 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM255.2 juta.- DagangNews.com