KUALA LUMPUR 20 Mei - Jumlah dagangan Malaysia meningkat 12.1% kepada RM221.7 bilion pada April 2024 berbanding RM197.8 bilion setahun sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM yang melaporkan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia berkata, peningkatan ini dipacu oleh kenaikan import 15.6% yang mencecah RM107.0 bilion dan eksport 9.1%, mencecah RM114.7 bilion.
Sebaliknya, imbangan dagangan turun 39.0% kepada RM7.7 bilion pada April 2024, kata DOSM.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia meningkat pada April 2024 seiring dengan peningkatan eksport domestik, bernilai RM91.8 bilion, menyumbang 80.0% kepada jumlah eksport meningkat 14.5%.
Sebaliknya, kata beliau, eksport semula bernilai RM22.9 bilion, menyumbang 20.0% kepada jumlah eksport turun 8.3% berbanding April 2023.
"Sementara itu, import bernilai RM107.0 bilion, meningkat 15.6%. Lebihan dagangan menurun 39.0% kepada RM7.7 bilion, lebihan bulan ke 48 berturut-turut sejak Mei 2020.
"Perbandingan dengan Mac 2024, eksport, import, jumlah dagangan dan imbangan dagangan masing-masing mencatatkan penurunan 10.8%, 7.6%, 9.3% dan 39.4%," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Melihat dari sudut kumpulan barangan, kata Dr Mohd Uzir, 189 daripada 257 kumpulan eksport dan 196 daripada 261 kumpulan import menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia juga menjelaskan bahawa eksport yang lebih tinggi disumbangkan oleh kenaikan terutamanya ke Amerika Syarikat (+RM1.9 bilion), diikuti oleh Taiwan (+RM1.9 bilion), Singapura (+RM1.5 bilion), Kesatuan Eropah (+RM907.3 juta), Filipina (+RM824.1 juta), Hong Kong (+RM616.8 juta) dan Thailand (+RM578.3 juta).
"Selain itu, import yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya dari China (+RM4.5 bilion) diikuti oleh Singapura (+RM3.6 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.2 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.2 bilion), Jepun (+RM873.3 juta), Australia (+RM573.0 juta), Cameroon (+RM526.5 juta), dan Hong Kong (+RM501.1 juta)," ujarnya.
Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, beliau berkata, kenaikan ini sejajar dengan peningkatan perkilangan lain (+RM1.5 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (+RM1.3 bilion); kimia & bahan kimia (+RM1.1 bilion); dan petroleum mentah (+RM990.7 juta).
Sementara itu, katanya, peningkatan import dicatatkan untuk barangan elektrik & elektronik (+RM5.8 bilion); jentera, peralatan & alat ganti (+RM3.0 bilion); petroleum mentah (+RM1.5 bilion); pertanian lain (+RM940.5 juta); dan pembuatan logam (+RM905.5 juta).
Selanjutnya, Dr. Mohd Uzir berkata, pertambahan import mengikut Penggunaan Akhir seiring dengan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan modal, barangan perantaraan dan barangan penggunaan.
Katanya, import barangan modal bernilai RM11.1 bilion, meningkat 9.7 peratus berbanding April 2023, mewakili 10.4 peratus daripada jumlah import. Barang perantaraan (55.3% daripada jumlah import), bernilai RM59.2 bilion, mencatatkan peningkatan 30.5 peratus atau RM13.9 bilion.
"Barang penggunaan (9.1% daripada jumlah import), meningkat 19.5 peratus daripada RM8.2 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM9.8 bilion," katanya.
Jumlah dagangan, eksport dan import bagi tempoh Januari hingga April 2024 mencatatkan peningkatan, kata Dr Mohd Uzir.
"Jumlah dagangan meningkat 8.3%, daripada RM842.6 bilion kepada RM912.3 bilion, sejajar dengan peningkatan dalam eksport (+3.8%) serta import (+13.7%).
"Sebaliknya, lebihan dagangan berkurangan 45.7% mencatatkan nilai RM41.8 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2023," ujarnya. - DagangNews.com