Inari terus nikmati permintaan tinggi, keluaran model baharu iPhone - Kenanga | DagangNews Skip to main content

Inari terus nikmati permintaan tinggi, keluaran model baharu iPhone - Kenanga

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Permintaan model baharu iPhone dijangka tetap kukuh seterusnya meningkatkan kitaran penggantian telefon pintar tersebut, sekali gus memberi keuntungan kepada Inari Amertron Berhad.

 

Permintaan bagi keluaran terbaharu, iPhone 13 telah mencanak naik apabila China yang dapat membuat tempahan lebih awal daripada Amerika Syarikat (AS), mencatatkan pra-pesanan melebihi 5 juta unit berbanding iPhone 12 yang menyaksikan pra-pesanan 2 juta unit di seluruh dunia. 

 

Menurut penganalisis di Kenanga Research, Samuel Tan, firmanya positif terhadap pelancaran iPhone 13 yang dikeluarkan dengan ciri panel OLED, sekali gus dapat menyokong sehingga 120Hz di mana merupakan pelaksanaan pertama dalam barisan telefon pintar Apple.

 

“Kami percaya inisiatif pengagihan semula spektrum di seluruh negara akan memperkukuhkan lagi pandangan kami bahawa Inari bakal menikmati permintaan kukuh bagi pengujian komponen frekuensi radio (RF) dipacu penggunaan rangkaian 5G dan kitaran penggantian peranti iPhone lama,” jelas beliau dalam satu nota penyelidikan. 

 

Tempahan iPhone yang di luar jangkaan dari China telah menyebabkan laman web rasmi Apple menjadi perlahan ekoran harga yang lebih murah di negara itu berbanding di AS. 

 

Bagaimanapun, isu kekurangan semikonduktor masih lagi berlaku memandangkan permintaan pengguna terhadap komputer riba dan telefon pintar kekal tinggi.

 

Kata Tan yang memetik Gartner, jumlah penghantaran komputer riba bagi tempoh suku kedua tahun ini (2Q21) telah melonjak 4.6% di mana Lenovo mencatatkan pertumbuhan untuk kali kelima berturut-turut. 

 

Penghantaran telefon pintar pula meningkat 10.8% pada tempoh sama dengan Samsung mengungguli kedudukan teratas. 

 

Tan tidak menolak kemungkinan Apple akan merampas kedudukan tersebut pada separuh kedua 2021 (2H21) kerana musim perayaan hampir tiba, disokong harga yang lebih murah di China, kekurangan kepelbagaian daripada Huawei dan Samsung serta ciri dan kapasiti simpanan iPhone yang telah ditambah baik.

 

Firma itu meletakkan penarafan ‘outperform’ ke atas Inari dengan harga sasaran (TP) pada kadar RM4.80 sesaham. - DagangNews.com