Indeks Harga Pengeluar catat peningkatan 0.2% pada September 2023 selepas susut tujuh bulan - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Harga Pengeluar catat peningkatan 0.2% pada September 2023 selepas susut tujuh bulan - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Okt - Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur harga barangan di pintu kilang, meningkat 0.2% pada September 2023 berbanding negatif 2.2% pada Ogos 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ia merupakan kenaikan pertama selepas penurunan selama tujuh bulan berturut-turut sejak Februari 2023 disebabkan kesan asas dan harga komoditi utama yang lebih tinggi.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan marginal itu disumbangkan semua sektor kecuali sektor pembuatan.

 

Katanya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 3.2% daripada susut 1% pada Ogos 2023 manakala perlombongan menokok 6.9% daripada -3.8% pada bulan sebelumnya.

 

"Kedua-dua sektor utiliti mencatatkan peningkatan, dengan sektor bekalan elektrik dan gas meningkat 0.5% pada September 2023 daripada -0.1% dalam bulan sebelumnya manakala bekalan air meningkat sebanyak 0.9% daripada 2.5% pada Ogos 2023," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, sektor pembuatan kekal dalam wilayah negatif bagi tempoh lima bulan berturut-turut dengan menguncup 0.8% daripada -2.3% pada Ogos lepas.

 

Dari segi perbandingan dengan negara lain, IHPR Amerika Syarikat naik 2.2% berbanding 2% pada Ogos 2023 iaitu yang tertinggi sejak April 2023 manakala indeks itu di Jepun juga meningkat 2%, lebih perlahan daripada peningkatan 3.3% pada bulan sebelumnya.

 

 

dosm

 

 

Katanya, pada masa sama harga pengeluar China terus turun 2.5% berbanding penurunan 3% pada bulan sebelumnya.

 

Inflasi pengeluar India juga mencatat penguncupan lebih kecil pada 0.3% daripada -0.5% pada Ogos 2023.

 

"Bagi asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 0.9% pada September 2023 selepas tiada perubahan dicatatkan pada Ogos 2023, didorong terutamanya oleh sektor perlombongan yang meningkat sebanyak 5.6% daripada 3.9% pada bulan sebelumnya," katanya.

 

Sektor pembuatan mencatatkan peningkatan kecil 0.8% daripada -0.2% pada Ogos 2023 manakala sektor bekalan elektrik dan gas menokok pada 0.4% daripada -0.1% sebelum ini.

 

Mohd Uzir berkata, bagi suku ketiga 2023, IHPR Pengeluaran Tempatan kekal dalam wilayah negatif 1.4% yang disumbangkan oleh sektor perlombongan (- 2.8%) dan pembuatan (-1.7%).

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2023, IHPR Malaysia turun sebanyak 2.1% berbanding tahun lepas yang disebabkan oleh ketidaktentuan komoditi utama Malaysia, khususnya produk minyak sawit dan minyak mentah. - DagangNews.com